MALAYSIAKINI
Presiden Indonesia Joko Widodo memerintahkan agar pihak berkuasa
memfokuskan terlebih dahulu kerja-kerja mengambil mayat penumpang dan
anak kapal pesawat AirAsia QZ8501 di laut Jawa.
Selain itu, beliau yang baru pulang daripada melihat lokasi penemuan
mayat itu berkata, keadaan di kawasan itu juga berkabus dan berombak
besar sekitar dua hingga tiga meter.
"Saya akan perintah fokus terlebih dahulu pada proses mengeluarkan mayat penumpang mahupun anak kapal secepat-cepatnya.
"Lokasinya berkabus dan ombak sangat besar antara dua sampai tiga
meter," katanya pada sidang media di pusat krisis di Lapangan Terbang
Antarabangsa Juanda, Surabaya, Jawa Timur.
Selain itu, Joko atau dikenali sebagai Jokowi berkata lagi, pada esok
pagi, kesemua kapal dan pesawat akan melakukan pencarian besar-besaran
bagi proses mencari mayat.
Pada sidang media itu, Jokowi juga mengucapkan terima kasih pada pihak
berkuasa serta sukarelawan termasuk nelayan yang turut membantu dalam
melakukan proses pencarian.
'Terima kasih, bertabahlah'
Beliau juga turut berterima kasih kepada negara-negara yang terlibat
iaitu Singapura, Malaysia dan Australia yang membantu mencari 155
penumpang dan tujuh anak kapal pesawat AirAsia yang hilang Ahad lalu.
Malah, beliau juga berdoa agar seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat supaya bertabah dalam menghadapi musibah tersebut.
"Terima
kasih juga kepada negara sahabat yang telah juga ikut membantu dalam
pencarian dari Singapura, dari Malaysia, dari Australia.
"Dan untuk seluruh keluarga penumpang dan anak kapal pesawat, sekali
lagi saya turut merasa kehilangan atas musibah ini dan kita semua berdoa
agar seluruh keluarga diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi
musibah ini," katanya lagi.
Ahad lalu pesawat Airbus 320-200 itu berlepas dari Surabaya, Indonesia
pada jam 5.20 pagi waktu tempatan (6.20 pagi waktu Malaysia) dan
dijangka tiba di Singapura dua jam kemudian, tetapi ia terputus
hubungan dengan kawalan trafik udara.
Memasuki hari ketiga pencarian hari ini, antara yang ditemui ialah
mayat-mayat dan serpihan yang dipercayai daripada pesawat tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.