Rabu, 31 Disember 2014

Jinggo Tidak Bermaksud Jatuhkan Reputasi Puteri Balqis

Oleh: FERIDE HIKMET ATAK
 
 
Puteri Balqis
 
 
 
PETALING JAYA: Pendedahan yang dibuat pengarah drama, Jinggo kononnya ayah kepada Puteri Balqis Azizi bersikap sombong menerusi laman sosial Facebook bukan kerana ingin menjatuhkan reputasi pelakon kanak-kanak itu.

Jinggo atau nama sebenarnya Azman Yahya berkata, dia berbuat demikian kerana kecewa dengan sikap bapa Balqis yang dianggap tidak berbudi bahasa apabila mengeluarkan kata-kata kesat menerusi mesej aplikasi WhatsApp.

"Bukan itu sahaja, dia turut membabitkan isteri saya (Sheila Rusly) yang tiada kena mengena pun dengan perkara ini.

"Mesej dia telah mencabar maruah saya dan perkara itu membuatkan saya bengang dan meluahkan rasa tidak puas hati itu di Facebook. Bukan bermakna ingin menjatuhkan reputasi Balqis. Terpulanglah pada umum untuk menilai perkara itu," katanya yang dihubungi mStar Online pada Selasa.


Status Facebook yang dimuat naik Jinggo bersama paparan skrin Whatsapp pada malam Isnin

Pada Isnin, Jinggo telah memuat naik status di Facebook mendakwa ayah kepada pelakon kanak-kanak itu bersikap sombong dengan menuduh produksi miliknya,  JS Pictures Sdn Bhd cuba mempermainkan Puteri Balqis apabila membatalkan tawaran untuk dia terlibat dalam drama Syurga Nur bawah syarikat produksi berkenaan.

Jinggo juga mendakwa ayah pelakon kanak-kanak itu turut meminta pelbagai syarat termasuk bayaran 50 peratus sebelum menerima skrip yang ditawarkan kepada anaknya.

Bagaimanapun menerusi laporan mStar Online pada Selasa, ibu Balqis iaitu Norashikin Mohd Aziz berasa kecewa dengan fitnah yang dibuat Jinggo.

Jinggo

Sementara itu, Jinggo menjelaskan, pihak produksi terpaksa membatalkan pengambilan Balqis sebagai pelakon drama mereka selepas melihat jadual kanak-kanak itu begitu padat sehingga sukar untuk mereka membuat susunan jadual.

"Ini saya cakap berdasarkan apa yang saya tahu sahaja. Memang saya minta pihak produksi mendapatkan Balqis untuk drama ini dan mereka cuba usahakan sehingga dapat.

"Selepas menerima jadual Balqis, kami lihat agak sukar untuk menyusun jadual penggambaran Balqis bersama artis-artis lain yang terlibat. Maka pihak kami terpaksa mengeluarkan surat memaklumkan hasrat kami untuk bekerjasama terpaksa dibatalkan.

"Tetapi lain pula jadinya apabila bapa Balqis memberi jawapan dengan kata-kata yang langsung tidak berbudi bahasa. Sudah 23 tahun saya terlibat dalam industri ini, takkanlah pihak saya suka-suka nak batalkan tawaran," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya adakah dia serik untuk menawarkan Balqis terlibat dengan drama terbitannya pada masa depan, kata Jinggo, pihaknya masih terbuka untuk bekerjasama dengan Balqis memandangkan pelakon kanak-kanak itu seorang yang amat berbakat.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.