Oleh Shawaliah Hadir
SHAH ALAM: Fenomena 'New Moon' dan monsun had tinggi serta deras menjadi faktor luar biasa punca banjir teruk di Kelantan tahun ini, kata Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip.
Katanya, kejadian air laut pasang yang berlaku apabila bulan berada hampir dengan bumi menjadikan faktor luar biasa selain pergerakan angin Monsun Timur Laut pada had tinggi ke dalam negara memburukkan lagi keadaan yang meningkatkan taburan hujan dan paras air di laut.
"Kalau nak tanya spesifik kenapa Kelantan merupakan yang teruk terjejas banjir memang kita (JMM) pun tidak ada lagi jawapan itu setakat ini.
"Tapi kalau kita tengok dari segi apa yang luar biasa, angin Timur Laut berterusan masuk ke negara kita dengan had laju yang tinggi (punca banjir luar biasa tahun ini).
"22 Disember berlaku 'New Moon' dan apabila ianya berlaku sekali dengan kejadian 'Perigee' di mana bulan berada hampir dengan bumi menjadikan impaknya lagi besar, kerana ia menghasilkan air pasang besar," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Untuk rekod, banjir di beberapa negeri di Pantai Timur bermula pada pertengahan November lepas sehingga mengakibatkan Kelantan khususnya negeri yang teruk terjejas.
Dr Mohd Hisham berkata, Kelantan negeri yang menerima taburan hujan yang berlebihan mengakibat negeri itu yang paling teruk terjejas.
Sehingga pagi ini jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 151,072 daripada 36,128 keluarga di 309 pusat pemindahan berbanding 126,396 orang semalam.
Daerah ini mencatat jumlah mangsa pemindahan tertinggi iaitu 44,081 orang diikuti Tumpat (30,569), Pasir Mas (23,568), Kuala Krai (23,500), Gua Musang (17,327), Machang (8,289), Tanah Merah (3,546 orang) dan Pasir Puteh (192 orang).
Sementara itu di Jeli, kesemua 1,430 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir di daerah itu mulai surut sejak petang semalam.
Beberapa sungai di negeri ini seperti Sungai Kelantan di Kota Bharu, Kuala Krai dan Kusial juga terus menunjukkan trend penurunan manakala Sungai Golok di Rantau Panjang pula masih mendatar walaupun masih berada pada paras bahaya.
Dalam pada itu, Dr Mohd Hisham mencadangkan agar semua pihak bersedia pada masa akan datang memberikan tumpuan kepada pemilihan pusat penempatan yang lebih selamat dan sesuai.
Katanya, walaupun sememangnya banjir merupakan bencana alam yang tidak dapat dijangka, melihat kepada rekod luar biasa yang berlaku tahun ini berbanding tahun-tahun lalu, menunjukkan bahawa pemilihan pusat penempatan perlu ditambah baik.
Berdasarkan keadaan terkini apabila terdapat beberapa pusat penempatan mangsa banjir turut dinaiki air dan banyak bantuan yang gagal disampaikan merupakan perkara yang perlu diberi tumpuan.
"Perkara ini memang tiap-tiap tahun berlaku, cuma yang berlaku kali ini lebih teruk daripada yang biasa dan keadaan ini kita tidak jangka.
"Kita tidak boleh elak memang tidak boleh ini adalah bencana alam, ia semula jadi maknanya kita boleh perkemaskan persediaan, bantuan, penambahbaikan tempat-tempat penempatan mangsa banjir untuk kita bersiap sedia lain kali.
"Pilih tempat yang lebih tiggi sebab banyak penempatan mangsa banjir pun dinaiki air juga, jadi maknanya tempat itu tidak sesuailah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.