BAGAN SERAI - Gara-gara bimbang kenderaan dicuri, sebuah keluarga mangsa banjir mengambil tindakan nekad mendirikan khemah di tepi jalan utama di Kampung Tanjung Bugis, di sini setelah rumah mereka ditenggelami air sejak dua hari lalu.
Rozi Che Soh, 44, berkata, dia dan anak-anaknya terpaksa bergilir-gilir menjaga keselamatan keluarga serta barang berharga yang terdapat di dalam rumahnya kerana kebimbangan berlaku kecurian pada musim banjir.
Menurutnya, dia tujuh beranak nekad untuk terus menetap di hadapan rumahnya yang sudah dinaiki air bah setinggi kira-kira 0.5 meter.
“Bukan kami tidak mahu berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Merah, namun kebimbangan tahap keselamatan rumah dan kenderaan membuatkan kami nekad untuk mendirikan khemah di hadapan rumah.
“Kami terpaksa bergilir-gilir menjadi pengawal keselamatan dan terpaksa tidur di khemah ini untuk keadaan barangan berharga tidak dicuri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Bugis semalam.
Rozi berkata, sejak air dari Empangan Kolam Bukit Merah dilepaskan dua hari lalu, keseluruhan kampung mula dinaiki air hingga beberapa penduduk mengambil keputusan berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir yang disediakan.
“Sejurus air empangan dilepaskan, kami sekeluarga bertungkus lumus mengalihkan perabot dan barangan berharga ke kawasan tinggi termasuk motosikal dan kereta yang kebiasaannya diletakkan di pekarangan rumah.
“Sudah tiga hari kami tidur dalam khemah dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Kami turut kami bersyukur paras air bah tidak mencecah sehingga tingkat atas rumah, jika tidak sudah pasti kami sekeluarga akan turut tinggal di pusat pemindahan mangsa banjir disediakan," katanya.
Rozi turut menganggarkan tidak kurang daripada 60 keluarga mengambil keputusan untuk terus bertahan dan menetap di rumah sendiri walaupun rumah mereka dinaiki air bah.
“Kami berharap keadaan banjir akan kembali pulih dalam masa terdekat bagi membolehkan kami menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.