MALAYSIAKINI
Ahli perniagaan, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Tun Abdul Taib menafikan
dakwaan bekas isterinya bahawa beliau mempunyai hubungan sulit dengan
banyak wanita di seluruh dunia sebagai faktor keretakan rumah tangga
mereka.
Ketika memberi keterangan di mahkamah pada 2 Sept tahun lepas, Shahnaz
Abdul Majid turut mendakwa bekas suaminya itu mempunyai hubungan dengan
beberapa wanita bukan muhrim termasuk dari Latvia dan Rusia.
"Saya hanya mengenali seorang gadis mualaf dari Australia yang menyertai
kursus agama di Singapura pada 1999," kata Mahmud Abu Bekir ketika
disoal balas peguam Akbardin Abdul Kadir yang mewakili Shahnaz.
Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa punca
kegagalan rumah tangganya adalah disebabkan sikapnya yang dianggap
'playboy', curang dan panas baran.
Mahmud Abu Bekir turut menyifatkan keterangan bekas isterinya itu
mengenai beberapa insiden termasuk pukul dan tidak bertanggungjawab
dalam tempoh tahun 1994 sehingga 1999 adalah rekaan semata-mata.
Mahmud Abu Bakar berkata demikian ketika memberi keterangan pada
perbicaraan kes tuntutan mutaah yang difailkan Shahnaz, kakak kepada
ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid, berjumlah RM100 juta.
Pada 11 Mei 2011, Mahkamah Tinggi Syariah mengesahkan perceraian talak
satu antara Mahmud Abu Bekir dengan Shahnaz yang berkahwin pada 9 Jan
1992 dan dikurnia seorang anak lelaki, Raden Murya, 21.
Pada 2 Sept tahun lepas, Shahnaz ketika memberi keterangan di mahkamah
mendakwa bekas suaminya itu sering keluar dan menghilangkan diri tanpa
memberitahu lokasi dirinya sehingga berminggu lamanya.
Shahnaz berkata bekas suaminya itu bukan sahaja bertindak sedemikian
tetapi sering memukul, menendang dan menumbuknya tanpa sebab yang
munasabah sehingga menyebabkan dirinya cedera.
Bekas isteri yang dikenali sejak Tingkatan 3 itu mendakwa Mahmud Abu
Bekir mula berubah selepas kelahiran anak lelaki mereka, Raden Murya,
pada akhir 1993.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Muhamad Abdul
Karim Wahab bersambung 21 Jan depan. Mahmud Abu Bekir akan menyambung
keterangannya pada hari itu.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.