Rabu, 31 Disember 2014

Bekas Menteri Di JPM Meninggal Dunia

MSTAR ONLINE
 
 
Abdul Hamid Zainal Abidin.
 
 
 
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Brig Jen (B) Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, malam tadi pada usia 70 tahun akibat komplikasi jantung.

Menerusi mesej daripada anak Allahyarham, Junaidi, 26, yang dalam perjalanan pulang ke Malaysia daripada mengerjakan umrah, bapanya meninggal dunia pada jam 9.52 malam selepas dimasukkan ke IJN kira-kira jam 5 petang.

"Minta kawan dapat ziarah ayah saya buat kali terakhir di rumah (No 8 Jalan Suasana 5/3A Bandar Tun Hussein Onn, Cheras)," katanya.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn, jam 11 pagi Rabu.

Allahyarham Abdul Hamid pernah memegang jawatan Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) serta bekas Pengerusi MARA.

Allahyarham adalah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1435H/2013M.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah," katanya dalam akaun twitter miliknya malam Selasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.