Khamis, 27 November 2014

UMNO gagal berubah, siapa perlu diubah?



Oleh Shahbudin Husin


UMNO mengadakan Perhimpunan Agung tahunannya sekali lagi. Jika dikira daripada tarikh ia ditubuhkan pada 1946, usia UMNO ketika ini sudah mencecah 68 tahun dan kalau ia seorang manusia pula, ia adalah seorang tua yang sudah dijangkiti banyak penyakit serta tidak berada lama lagi hayatnya di dunia ini.

Tetapi sebagai entiti yang tiada tempoh matinya, usia UMNO sukar diramalkan. Hayatnya mungkin panjang dan mungkin juga pendek. UMNO ketika ini bukan saja menjadi antara parti paling lama berkuasa tanpa henti, bahkan mungkin satu-satunya parti yang menuntut kemerdekaan yang masih kekal menggenggam kuasa.

Sejak pilihanraya 2008, UMNO telah mengalami kemerosotan sokongan yang ketara daripada rakyat. Buat pertama kalinya, BN yang ditunjangi UMNO hilang majoriti dua pertiga pada pilihanraya 2008 dan kemudian pilihanraya 2013 pula, bukan saja terus merosot jumlah kerusinya, malah turut kehilangan undi popularnya.

Apabila Datuk Seri Najib Razak mengambil alih kepimpinan parti dan negara pada 2009, beliau sedar parti ketika itu dalam keadaan lemah dan makin merosot. Lantaran itu, peringatan awal yang kerap dilontarkannya ialah "berubah sebelum rebah" supaya ahli parti di semua peringkat segera memperbaiki diri, bermuhasabah serta melakukan perubahan.

Malangnya, dalam tempoh 2009 hingga pilihanraya 2013, melalui pelbagai slogan dan pendekatan yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib,  sokongan rakyat tidak juga menjelma. Selain kehendak rakyat makin kritikal dan pelbagai, isu yang menghantui rakyat juga ialah tiadanya perubahan dalam diri pemimpin yang sering melaungkan slogan "berubah sebelum rebah" itu.

Bagi kebanyakan rakyat dan ahli UMNO sendiri, mereka mendapati Datuk Seri Najib tidak bersungguh-sungguh berubah sebagaimana beliau meminta pemimpin dan ahli UMNO yang lain agar berubah. Dengan pelbagai isu yang membeliti diri dan keluarganya sejak 2009, dari isu kemewahan, pembaziran, penonjolan isteri yang keterlaluan, perbelanjaan, mengurus kerajaan dan sebagainya, jelas tergambar bahawa Perdana Menteri juga gagal berubah sebenarnya.

Apabila beliau bercakap mengenai perubahan dan meminta orang lain berubah, sudah tentu teladan ini mesti hadir melalui dirinya terlebih dahulu. Bagaimana pemimpin dan ahli UMNO lain mahu berubah sedangkan yang melaungkan perubahan pun kekal selesa dengan gaya lama yang menjadi kebencian rakyat?

Menjelang Perhimpunan Agung UMNO ke-68 tahun ini, isu perubahan sekali lagi dilaungkan, tetapi kali ini oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pula. Jika dulu Presiden UMNO mengatakan "berubah sebelum rebah", Timbalan Presidennya pula menggesa agar "berubah sebelum diubah".

Menurut Tan Sri Muhyiddin lagi, berdasarkan keputusan pilihanraya pada 2008 dan 2013, adalah jelas UMNO kini berada dalam kedudukan yang kritikal dan memerlukan perubahan yang segera sebelum kalah lebih teruk lagi.

"Saya katakan kita sedang menghadapi tahap kritikal, kalau perubahan atau pembaharuan tidak dilihat berlaku, bimbangnya kita boleh kalah. Isyaratnya sudah jelas di hadapan kita," tegasnya lagi.

Persoalannya, kenapa kali ini Tan Sri Muhyiddin sebagai orang nombor dua dalam parti dan kerajaan pula yang menuntut agar dilakukan perubahan dan pembaharuan dalam UMNO?

Apakah ini bermakna perubahan yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib sejak 2009 telah mengalami kegagalan?

Sementara Datuk Seri Najib tidak bercakap lagi mengenai perubahan sejak kebelakangan ini, maksud perubahan dan pembaharuan yang ditekankan oleh Tan Sri Muhyiddin seharusnya juga difahami oleh ahli-ahli UMNO menjelang perhimpunannya kali ini.

Apakah maksud sebenar perubahan dan pembaharuan itu? Adakah ia hanya mengenai sikap, pendekatan dan corak kerja semata-mata atau ia termasuk juga perubahan dan pembaharuan dalam kepimpinan UMNO?

Tidak dinafikan bahawa sejak mengambil alih kepimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ditakrif lemah dan menimbulkan banyak masalah, Datuk Seri Najib telah melakukan pelbagai usaha dan pendekatan untuk memenangi pilihanraya tetapi masalah utamanya ialah beliau juga dilihat tidak berubah lantaran pelbagai isu lain yang tidak henti-henti mengenai dirinya sendiri.

Sebab itu, keputusan pilihanraya 2013 lebih buruk daripada 2008. Dan selepas pilihanraya 2013 pula, imej dan wajah UMNO terus lebih buruk lagi. Ini menyebabkan soal kemungkinan UMNO kalah pilihanraya dan hilang kuasa bukan lagi diperbualkan oleh rakyat biasa, malah ramai pemimpin UMNO sendiri turut bimbang dengannya.

Jika Perhimpunan Agung UMNO tahun ini digunakan untuk menilai prestasi parti dan pemimpinnya serta tidak lagi bercakap soal retorika kaum, agama atau lawak jenaka, perubahan dan pembaharuan dalam kepimpinan sudah tidak dapat dielakkan lagi jika ingin terus berkuasa dan menang pilihanraya. Perubahan dan pembaharuan yang sudah tidak boleh dielakkan lagi ialah melibatkan Datuk Seri Najib sendiri.

Tanpa perubahan dan pembaharuan yang melibatkan "bahagian kepala dari seekor ikan", apa pun perubahan yang dilaungkan tidak akan berupaya menjana kemenangan kepada UMNO. Apakah ini sebenarnya mesej yang cuba disampaikan oleh Tan Sri Muhyiddin apabila mengatakan perlunya UMNO melakukan perubahan dan pembaharuan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.