Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
SHAH ALAM: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) masih belum
menerima laporan mengenai pendedahan media antarabangsa Al-Jazeera
baru-baru.
Bagaimanapun, Bahagian Aduan dan Pemantauan Suruhanjaya akan meneliti perkara tersebut dengan serta-merta.
Menurut SUHAKAM, sebelum ini pihaknya ada meminta untuk perlindungan
yang lebih baik terhadap hak-hak asasi pelarian dan pemohon suaka di
Malaysia.
"Suruhanjaya telah menerima aduan mengenai isu yang dihadapi oleh
pelarian dan pencari suaka, khususnya yang melucutkan hak asasi mereka
untuk akses pekerjaan, pendidikan formal dan perkhidmatan kesihatan.
"Suruhanjaya mengulangi saranannya kepada kerajaan untuk meratifikasi
Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Berkaitan dengan Status Pelarian
1951," katanya kepada Antarapos melalui satu kenyataan media.
Minggu lalu, Al-Jazeera melaporkan pelarian yang berusaha mendapatkan
suaka didapati dipukul, tidak diberi makan dan diperguna oleh pihak
berkuasa di dua pusat tahanan Malaysia, di tengah-tengah dakwaan amalan
rasuah oleh kakitangannya.
Bukan itu sahaja, media itu juga memberitahu terdapat pelarian dirantai
dan digari, dan ada yang tidak menjamah makanan untuk beberapa hari.
Terdapat kanak-kanak ditahan – suatu yang bertentangan dengan
Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung hak
kanak-kanak; dan menemui wanita ditahan selepas beberapa jam melahirkan
anak.
Menyentuh mengenai terdapat kanak-kanak yang turut ditahan, SUHAKAM
berkata pihak berkuasa kini dalam proses mengenal pasti alternatif
"Kanak-kanak dalam tahanan, pada masa ini, suruhanjaya, Jabatan
Imigresen dan anggota masyarakat sivil sedang dalam proses bagi
membentuk satu pasukan petugas untuk melaksanakan perancangan dan
pelaksanaan alternatif kepada kanak-kanak di bawah tahanan imigresen.
Malah SUHAKAM juga sering mengadakan lawatan ke pusat tahanan untuk memastikan mereka ini mendapat layanan yang sewajarnya.
"Lawatan ke pusat tahanan adalah antara tanggungjawab suruhanjaya di
bawah Seksyen 4 (2) (d) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999
(Akta 597).
"Pada tahun 2013, Suruhanjaya telah melawat 14 pusat tahanan imigresen
(lawatan berkala dan berasaskan kes) di mana suruhanjaya mendapati
bahawa keadaan di pusat-pusat tahanan umumnya memenuhi standard minimum,
walaupun masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan," menurut
kenyataan itu.
Di Malaysia, pelarian tidak mendapat pelindungan undang-undang kerana
negara ini tidak menandatangani konvensyen PPB yang mengiktiraf
pelarian.
Ini bermaksud mereka boleh ditahan pada bila-bila masa dan dimasukkan ke pusat tahanan.
Kuala Lumpur antara negara yang mempunyai populasi terbesar pelarian dan pemohon suaka, sekitar 150,000 orang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.