Madrasah Albadariah kelihatan usang dan prasarananya jauh ketinggalan. Madrasah Albadariah kelihatan usang dan prasarananya jauh ketinggalan.
 
 
[DIKEMASKINI] MAJORITI sekolah pondok di Malaysia masih berada dalam keadaan daif  dan sangat jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek, berbanding institusi atau sekolah pondok di negara-negara lain.

Pengarah Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Juhaidi Yean Abdullah berkata, secara umumnya perkembangan sekolah pondok di negara ini boleh dikatakan berada pada tahap sederhana.

"Kalau nak buat perbandingan dengan sekolah-sekolah pondok di selatan Thailand dan Indonesia, jurang pembangunan dari segi kelengkapan dan kemudahan itu sangat jauh berbeza.

"Keadaan sekolah-sekolah pondok di sana sangat bagus, kemudahan selesa dan lebih baik daripada apa yang sekolah pondok kita ada," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Juhaidi berkata, ada sekolah pondok yang usang dan tidak mempunyai kemudahan asas akibat masalah kewangan yang dihadapi.

Beliau berkata, hampir semua sekolah pondok dapat terus 'hidup' berdasarkan tiga sumber iaitu wang diperoleh daripada zakat, sedekah daripada orang ramai serta sumbangan berbentuk barang seperti beras, gula dan sebagainya.

Menurutnya, bagaimanapun jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menampung keperluan pembangunan sekolah  pondok menyebabkan tenaga pengajar terpaksa keluar mencari kerja lain dengan  menjadi imam jemputan di negeri atau daerah lain, melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti antaranya seperti pengurusan jenazah bagi mendapatkan sumber pendapatan tambahan.

Katanya, di Kedah, kerajaan negeri memberi elaun RM1,000 sebulan kepada tok guru, manakala pembantu kanan dan kirinya, masing-masing memperoleh elaun sebanyak RM500 yang sedikit sebanyak membantu dalam pengurusan pondok.

Beliau berkata, bagaimanapun kedaifan sekolah-sekolah pondok di negara ini tidak kira yang berdaftar atau tidak, sebahagiannya bukan disebabkan mereka tidak mampu atau tidak mempunyai bajet untuk menaik taraf sekolah.

Menurutnya, segelintir tenaga pengajar yang dipanggil tok guru atau tok mudir sebenarnya yang berkehendak mahu mengekalkan keadaan sekolah pondok mereka.

"Sikap itu, jika dilihat bukan hanya melibatkan faktor sejarah tetapi menjadi prinsip sebahagian daripada tenaga pengajar itu yang tidak mahu ada campur tangan luar dalam sistem pengajian pondok serta anasir yang boleh menyebabkan mereka lupa diri.

"Contohnya, terdapat sekolah-sekolah pondok di Kedah, Kelantan dan sempadan Perak yang masih guna telaga, tidak menggunakan kerusi dan meja sewaktu sesi pembelajaran, tidak memasang bekalan elektrik dan sanggup memakai pelita sedangkan mereka sebenarnya mampu untuk mendapatkan kemudahan bekalan air dan elektrik," katanya.

Juhaidi berkata, terdapat segelintir tenaga pengajar sekolah pondok yang fobia untuk menerima elaun atau bantuan daripada kerajaan kerana berpandangan prinsip sekolah pondok sebenar perlu bebas tanpa sebarang campur tangan luar.

Beliau berkata, YPPM tidak memperkecilkan prinsip sebahagian tenaga pengajar sekolah pondok, tetapi dalam satu aspek lain mereka tidak boleh terlalu berpegang pada prinsip itu jika hendak berubah.

Katanya, beliau tidak mahu hanya kerana prinsip seperti itu, masa depan anak-anak sekolah pondok digugat sekali gus mengheret sekolah pondok ke zaman gelap dan akhirnya pupus.

"Pada 2012, sebanyak 110 sekolah pondok dikenal pasti di seluruh negara dan sehingga kini jumlah itu dianggarkan mungkin sudah meningkat antara 250 ke 300. Mungkin hanya satu pertiga sahaja yang berdaftar, tetapi kita percaya masih banyak yang belum mendaftar dengan jabatan agama di negeri masing-masing.

"Isu sekolah pondok tidak berdaftar ini menambah kesukaran dalam usaha memajukan sekolah terbabit kerana bantuan tidak dapat disalurkan secara terus kepada mereka," katanya.

Mengulas berhubung pembentangan Bajet 2015 yang menyaksikan kerajaan memperuntukkan RM25 juta bagi pendidikan sekolah pondok berdaftar, Juhaidi berkata, jumlah itu sangat besar dan merupakan peruntukan pertama daripada kerajaan bagi memajukan pendidikan di sekolah-sekolah pondok.

"Kita mengalu-alukan peruntukan sebegini, namun masih belum mengetahui bagaimana proses agihan akan dibuat sama ada disalurkan menerusi Kementerian Pelajaran, kerajaan negeri atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Namun, apa yang membimbangkan, peruntukan itu hanya untuk sekolah pondok berdaftar sedangkan di negara ini masih terlalu banyak sekolah pondok yang belum berdaftar. Bagaimana peruntukan itu hendak sampai kepada mereka?" katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses  berkempen bagi menyeru tenaga pengajar sekolah pondok seluruh negara untuk lebih terbuka dan mendaftar demi masa depan anak-anak sekolah pondok.

"Jika banyak sekolah pondok mendaftar dan kerajaan dapat melihat kewujudan mereka, berkemungkinan pada masa akan datang peruntukan yang lebih banyak dapat disalurkan bagi meningkatkan taraf serta pembelajaran di sekolah pondok.

"Kita juga tidak mahu anak-anak sekolah pondok tertinggal dalam transformasi negara tetapi mahu memastikan beberapa langkah yang sedang dibincangkan dapat dilaksanakan agar masa depan mereka bukan hanya di pondok tapi dapat dikembangkan ke peringkat lebih tinggi sehingga universiti," katanya.

Katanya, setakat ini dianggarkan pelajar sekolah pondok seluruh Malaysia berjumlah kira-kira 15,000 orang, manakala tenaga pengajar pula antara 900 ke 1,000 orang.

"Pemerhatian kita juga menunjukkan kebanyakan sekolah pondok berada di kawasan Kedah, Kelantan, Terengganu, diikuti Perak, Pahang dan Selangor.

"Kita tak dapat bagi statistik yang tepat kerana tiada kajian dibuat, selain banyak sekolah pondok tidak berdaftar," katanya.