KOTA BHARU: Aktivis R bersetuju untuk menjadikan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai ikon pejuang royalti.
Presiden R, Nazri Deraman berkata, selain bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas, Ku Li adalah 'saksi hidup' yang konsisten dalam perjuangan royalti.
Di samping itu, ujarnya Ku Li adalah pengasas Petronas dan orang yang terlibat merangka Akta Kemajuan Petroliam 1974 dan menandatangani perjanjian dengan kesemua negeri termasuk Kelantan.
Menurut Nazri, persetujuan itu dicapai ketika pertemuan aktivis R dengan tokoh politik itu pada 14 November lalu.
Nazri memberitahu dalam pertemuan itu ada beberapa cadangan dari Ku Li, antaranya keadah ‘timbangtara’ digunakan untuk menyelesaikan kes tuntutan royalti.
Menurut Ku Li jelas Nazri, kedua-dua pihak boleh berbincang dengan melantik orang tengah sebagai pengadil.
“Berbanding proses mahkamah yang memerlukan masa yang panjang dan kos yang amat tinggi di samping risiko dari sudut perundangan kerana terlalu mengikat kedua-dua pihak.
“Ku Li sanggup mengetuai satu jawatankuasa pengurusan perbelanjaaan wang royalti dengan cadangan dua orang anggota exco Kerajaan Kelantan sebagai wakil di samping dua orang wakil Kerajaan Pusat,” ujarnya.
Jelas Nazri lagi, cadangan itu bagi mengelakkan wang digunakan bagi tujuan politik sebagaimana kebimbangan para pemimpin Umno.
“Yang penting di sini adalah bayaran royalti dibuat mengikut perjanjian dan rakyat Kelantan mendapatkan haknya,” ujarnya lagi.
Pada masa yang sama menurut Nazri, Tengku Razaleigh telah menyampaikan pandangan jelas kepada Kelantan berkenaan langkah mengheret Petronas ke mahkamah.
Katanya, ia adalah suatu yang amat sukar kerana mahkamah di bawah kerajaan Pusat.
Pada masa yang sama, jelasnya Tengku Razaleigh turut menempelak sikap pemimpin Umno Kelantan yang berusaha menggagalkan pembayaran royalti.
Katanya, Tengku Razaleigh turut mendedahkan Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum yang diumumkan PM adalah satu wayang kulit.
“Ia tidak membawa sebarang maksud dalam perundangan. Ianya tidak boleh mengatasi perjanjian yang telah dimeterai,” ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.