Ahad, 30 November 2014

Perhimpunan Umno pupuk politik ketakutan, kebencian dan pembohongan

perhimpunan_umno

Roketkini.com


GELANG PATAH: : Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014 yang berlangsung sepanjang hujung minggu ini tidak lebih sekadar pertunjukan politik kotor yang memupuk ketakutan, kebencian dan pembohongan, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Katanya, tema PAU kali ini adalah bagi melahirkan pemikiran bahawa orang Melayu dan Islam kini diancam, dan bakal memberi kesan buruk kepada pembinaan bangsa.

“Politik ketakutan, kebencian dan pembohongan dengan rutin menghentam orang bukan Melayu amat merbahaya kepada pembinaan negara.

“Malah mereka hanya memupuk mentaliti ‘terjajah’, tanpa membenarkan pemikiran rasional dan pertanyaan tentang mengapa selepas 57 UMNO memerintah, Melayu dan Islam masih diancam,” kata Kit Siang dalam program ‘Dialog Kedai Kopi’ di Gelang Patah, semalam.

“Jika selama lebih lima dekad pemerintahan UMNO hanya memburukkan kedudukan Melayu dan Islam, maka jawapannya adalah menyingkirkan UMNO dari Putrajaya, bukannya mengekalkan mereka,” katanya lagi.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, PAU sekali lagi menjadi medan UMNO menghentam kaum lain. Kali ini, perwakilan dari Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir mendesak slogan ’1Malaysia’ ditukar kepada ’1Melayu’.

Masyarakat Cina menerima hentaman paling teruk, apabila perwakilan Wanita UMNO Kedah Datuk Mashitah Ibrahim memfitnah komuniti Cina di Kuala Kedah membakar naskah Al-Quran, manakala wakil dari Pulau Pinang Datuk Mohd Zaidi Said menuduh kejayaan masyarakat Cina di negeri itu kerana kegiatan haram dan jenayah.

Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, fitnah Mashitah adalah contoh terburuk pembohongan yang berlaku sepanjang perhimpunan itu

“Lebih teruk, beliau tidak menunjukkan rasa kesal selepas diberitahu bahawa Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir sendiri menyatakan apa yang berlaku sebenarnya adalah individu Melayu kurang siuman mengoyak naskah Al-Quran, bukan membakarnya,” katanya.

Jumaat lalu, DAP telah membuat laporan polis berhubung fitnah jahat itu.

Namun ketika mengulas tindakan DAP itu, Mashitah dengan angkuh mencabar agar DAP menyamannya.

“Seperti pemimpin UMNO lain, Mashitah yakin bahawa beliau kebal untuk membuat kenyataan menghasut yang mampu merosakkan hubungan antara kaum dan agama.

“Jika pemimpin DAP dan Pakatan yang melakukannya, sudah pasti polis akan mengambil tindakan dalam masa 24 jam,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.