shahbudindotcom
Berbanding
ucapan Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita,
Pemuda dan Puteri sehari sebelumnya, ia jauh mengandungi isi yang
menyedar dan menyegarkan seluruh ahli-ahli UMNO agar segera bangkit
meneruskan perjuangan yang kian mencabar ini.
Malah
ucapan Muhyiddin turut mendapat pujian banyak pihak yang menyifatkannya
sebagai peringatan penuh bertanggungjawab untuk memulih dan
mengembalikan kekuatan semula UMNO.
Satu-satu
isu yang terus diperkatakan oleh ahli UMNO dan juga orangramai dalam
intipati ucapan Najib tahun ini ialah tindakannya mengekalkan Akta
Hasutan yang pernah dijanji untuk dihapuskannya sebelum ini. Pujian yang
kedengaran juga mengenai ucapan Najib hanyalah mengenai tindakannya
mengekalkan Akta Hasutan saja. Tidak terdengar ada pujian lain selain
itu.
Walaupun
kumpulan kanan dalam UMNO dan masyarakat memberi pujian dan sanjungan
kepadanya berikutan pengekalan Akta Hasutan itu, tetapi adalah jelas
Najib dilabel sebagai pemimpin yang mungkir dengan janjinya sendiri.
Meskipun
tidak dinafikan pihak yang berbelah bagi selama ini kembali
menyokongnya, tetapi Najib akan terus kehilangan sokongan rakyat biasa
yang berpegang kepada janjinya sebelum ini. Kumpulan ini yang
kebanyakannya daripada golongan bukan Melayu dan mereka yang tinggal di
bandar, dipercayai akan terus menjauhi Najib berikutan tindakan mungkir
janjinya itu.
Bahkan mungkin juga mereka tidak mempercayai lagi apa juga janji-janjinya selepas ini.
Dengan
ini, Najib sekurang-kurangnya belajar satu perkara iaitu jangan mudah
berjanji sesuka hati. Berjanji sesuka hati sebenarnya bukan saja
merbahaya ketika memadu kasih atau sedang dilamun asmara tetapi juga
dalam dunia politik. Ketika mengemukakan janji dahulu, Najib jelas
terbuai dengan keinginan menjadi pemimpin yang liberal dan terbuka
tetapi akhirnya terkulai kerana tekanan daripada dalam UMNO sendiri.
Jika
dahulu beliau lebih berhati-hati sebelum melontarkan janji, tentulah
keadaan tidak menjadi kalut seperti sekarang ini. Barangkali Najib kena
menghayati lagu nyanyian Saloma "Apa Guna Berjanji" sebelum melontarkan
janji-janjinya di lain kali.
Tetapi
sesuatu yang tidak dapat dinafikan daripada tindakan Najib mengekalkan
Akta Hasutan ini setelah berjanji untuk memansuhkannya sejak 2012 lagi
ialah semata-mata untuk memastikan masa depannya terus kukuh dalam UMNO.
Oleh
kerana rata-rata mereka dalam UMNO mahukan akta itu dikekalkan,
ditambah dengan sokongan rakyat kepada UMNO yang tidak berubah serta
penarikan balik sokongan oleh Mahathir Mohamad terhadapnya, jika Najib
terus mahu memansuhkannya, ia tentu akan menyebabkan kedudukannya lebih
mudah digoyang lagi.
Oleh
kerana ingin terus mempertahankan kedudukannya, Najib terpaksa mengalah
dengan keadaan yang tidak memihak kepadanya itu. Lebih-lebih lagi
timbalannya, Muhyiddin Yassin turut lantang mahukan akta itu dikekalkan.
Kiranya
gelombang penolakan ini tidak sekuat sekarang, sudah barang tentu Najib
akan terus berpegang kepada janjinya untuk menghapuskan akta tersebut.
Ini
juga tidak dapat ditolak ada kaitan dengan kemungkinan UMNO akan
mengadakan pemilihannya pada 2016 iaitu sebelum berlangsungnya PRU 14
dan tidak lagi menangguhkannya seperti biasa. Kalau pun pemilihan UMNO
diadakan selepas pilihanraya umum, Najib tidak mahu sokongan terhadapnya
lebih longgar lagi.
Ketika
ini, gambarannya ialah Najib lebih rela kehilangan sokongan rakyat
biasa yang menganggapnya sebagai seorang yang mungkir janji terlebih
dahulu berbanding kehilangan terus sokongan dalam UMNO dan kumpulan
kanan dalam masyarakat.
Mungkin
selepas meraih semula sokongan dan kekuatan kumpulan kanan dalam UMNO
dan masyarakat itu, beliau akan memikir cara lain pula untuk mengambil
hati golongan yang kecewa dengan janji palsunya itu.
Tetapi,
walaupun sudah membuat keputusan mengekalkan Akta Hasutan, Najib juga
bakal terus ditekan lagi selepas ini agar mengembalikan semula ISA dan
Ordinan Darurat yang sudah dimansuhkannya sebelum ini.
Dengan
kejayaan kumpulan kanan mendesak sehingga Najib mengalah dan terus
mengekalkan Aka Hasutan, adalah dipercayai gerakan agar dikembalikan ISA
dan Ordinan Darurat akan lebih rancak lagi selepas ini. Mereka tidak
akan berhenti setakat Akta Hasutan saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.