MALAYSIAKINI
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan
akan menggunakan maklumat hasil intipan di media sosial sebagai bukti
dalam pertuduhan di mahkamah ke atas suspek kegiatan keganasan.
Menurutnya, langkah itu boleh dilakukan menerusi pindaan akta sedia ada atau pengenalan undang-undang antikeganasan yang baru.
"Sekarang ini benda ini tak boleh dijadikan hard evidence (bukti jelas)
untuk bawa mereka ke mahkamah," katanya dalam satu sidang media
tengahari ini.
"Apa yang disarankan Kementerian Dalam Negeri adalah sama ada peguam
negara melakukan pindaan terhadap undang-undang sedia ada dengan
meningkatkan aspek pencegahan dalam undang-undang sedia ada.
"Kedua, daripada segi pembiayaan dana, KDN mencadangkan satu akta baru yang boleh mencegah aktiviti keganasan," kata Zahid lagi.
Menurutnya, Akta Pencegahan Jenayah 1959 terhad kepada aktiviti mencegah
jenayah sementara Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)
2012 pula biasanya digunakan untuk mencegah penceroboh dalam ke dalam
negara.
Menurutnya, jika akta baru menentang keganasan diluluskan kelak, satu
panel khas akan dibentuk untuk membuat keputusan yang membabitkan
peruntukan akta itu.
Jelasnya, ia mengambil contoh Akta Pencegahan Jenayah, yang dipinda pada tahun 2013.
"(Kuasa memberi arahan penahanan) akan diturunkan kepada ahli lembaga
Panel Pencegahan Antikeganasan – seperti ahli lembaga pencegahan jenayah
dalam Akta Pencegahan Jenayah," katanya.
Akta Pencegahan Jenajah dipinda pada September tahun lalu dengan
memperkenalkan semula penahanan tanpa bicara selepas pemansuhan Akta
Keselamatan Dalam Negeri.
Ia turut membatalkan kuasa menteri untuk mengarahkan penahanan dan memindahkannya kepada Lembaga Pencegahan Jenayah.
Walau dengan peruntukan baru itu, ia masih menjadi sasaran kritikan aktivis hak asasi yang menggelarkannya sebagai “ISA 2.0”.
Aktivis mendakwa peruntukan itu mempunyai kuasa luas yang menyekat
kebebasan bergerak, berekspresi, berhimpun, dan memiliki harta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.