Sabtu, 29 November 2014

Kekal Akta Hasutan demi Umno, kata Najib

MALAYSIAKINI



 
 
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 dibuat demi tanggungjawabnya kepada anggota parti.

Keputusan itu juga diumumkan di Perhimpunan Agung Umno semalam atas tanggungjawab tersebut, kata presiden parti itu lagi semasa menyampaikan ucapan penggulungannya petang ini.

"Saya hendak semua ahli Umno sekarang ini tahu bahawa sebagai presiden parti saya bertanggungjawab kepada semua ahli-ahli parti.

"Kalau suara Umno hendakkan Akta Hasutan dikekalkan maka saya menerima hasrat ahli-ahli Umno seluruhnya," kata Najib.

Selanjutnya, Najib menyeru peguam negara agar bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang itu.

"Dalam perlembagaan, peguam negara ada kuasa mutlak untuk kuasa pendakwaan tapi kita minta ketegasan dari peguam negara," katanya.

Tegasnya lagi, mereka yang tidak menghasut tidak perlu takut dengan pengekalan akta itu.

"Kita beri isyarat yang jelas tiada sesiapa perlu takut atau bimbang jika dia tidak melanggar undang-undang dalam negara ini.

"Kalau kita ini bukan penghasut tiada apa yg kita harus takut," kata Najib.

Najib dalam ucapannyna turut menangkis kritikan media antarabangsa ke atas tindakannyna mengekalkan Akta Hasutan.

"Orang akhbar antarabangsa serang saya kata saya tak demokratik, memungkiri janji, ikut undang-undang kekerasan.

"Tetapi, tanggungjawab seorang perdana menteri adalah untuk menjaga keselamatan dan keamanan dalam negara kita.

"Akta Hasutan ini melindungi semuanya - melindungi yang Islam dan bukan islam," kata Najib lagi.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.