KUALA LUMPUR: Semua perhatian tertumpu ke final Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil antara Skuad Tok Gajah vs JDT.
"Kalau sebelum ini saya menyebut fitnah adalah antara senjata tertua di dunia yang masih aktif berfungsi, maka bola sepak pula adalah antara sukan tertua di dunia yang masih kekal sebagai sukan yang paling disukai ramai," tulis Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat, Nasrudin Hassan menerusi facebook.
Ini, ujarnya terutama persaingan EPL dan LA Liga yang mendapat tempat di kalangan peminat bola sepak tempatan selain Liga Super dan Piala Malaysia.
Sementara Bundesliga, Serie A dan Liga Brazil juga besar reputasinya namun kurang mendapat liputan melalui media di negara kita, tulisnya lagi.
Menurutnya, permainan bola sepak terkenal dengan corak permainan secara 'berjamaah' dan sekali-kali tiada permainan bola sepak dilakukan secara individu.
Tambah beliau, tanpa menafikan skil individu itu juga penting dan menyumbang kepada kemenangan pasukan seperti nama-nama besar dalam sukan ini, Pele, Maradona, Ronaldo Brazil, Zidane, Messi, Ronaldo Portugal dan lain-lain, kehebatan sesebuah pasukan sebenarnya banyak bergantung kepada kekuatan atau kekentalan formasi yang dipersembahkan dan pastinya secara kolektif.
Bukti mudah, ulasnya Ronaldo dianggap mesin gol bagi Real Madrid tetapi tidak mencapai reputasi serupa sewaktu mewakili pasukan negaranya Portugal.
"Pahang biasanya menggunakan formasi 4-4-2 bagi mencipta kemenangan bergaya. Namun pasukan JDT juga mempunyai formasi tersendiri bagi memburu kejayaan yang mereka idamkan. Masing-masing telah buat persiapan rapi.
"Hanya kesilapan dan kegagalan bertindak secara jamaei (kolektif) membuat mereka kecundang. Kita boleh saksikan malam ini," tambah Ahli Parlimen Temerloh itu.
Katanya, kelalaian dan kealpaan berperanan di posisi masing-masing akan membawa padah kepada pasukan.
Beliau menambah, hilang fokus pada amanah yang disandang juga faktor kepincangan yang menghancurkan harapan pasukan dan penyokong mereka.
"Begitulah perjuangan kita dengan jamaah ini. Jangan leka dan jangan hilang fokus. Tunai amanah sebaik mungkin. Jangan tinggal posisi yang diamanah," tulis beliau selanjutnya.
Ingat pesan Allah swt:
وَدَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْ تَغْفُلُونَ عَنْ أَسْلِحَتِكُمْ وَأَمْتِعَتِكُمْ فَيَمِيلُونَ عَلَيْكُم مَّيْلَةً وَاحِدَةً
Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan barangan amanah kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak (dan kamu tewas tergadah). (Surah An Nisa': 102) - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.