PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan kes rayuan Liwat II mensasarkan untuk
membongkar apa yang dikatakan konspirasi politik oleh Ketua Pembangkang
Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata ketua pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee
Abdullah kepada Mahkamah Persekutuan hari ini.
“Keseluruhan pembelaan utama perayu terdapat konspirasi politik.
Sekurang-kurangnya dua peguamnya mengutarakan isu ini," kata Shafee
sebaik Mahkamah Persekutuan mula bersidang hari ini.
Selasa lalu, Peguam Anwar N Surendran berkata, tuduhan anak guamnya
terhadap kes liwat membabitkan Mohd Saiful Bukhari Azlan, 29, pada 2008
bermotifkan politik.
Anwar turut membuat dakwaan berkenaan dalam kenyataan setebal 32 muka surat dari kamar mahkamah.
Memetik kenyataan Anwar, Shafee berkata tuduhan berkenaan adalah umum dan tidak mempunyai syarat tertentu.
Shafee berkata Anwar sekali lagi membuat dakwaan konspirasi seperti
yang dilakukan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Shafee berkata beliau akan memeriksa dan menganalisa maksud konspirasi politik seperti didakwa pihak pembelaan.
Tiada sesiapa yang meminta Anwar memberikan kenyataan bukan bersumpah,
kata Shafee. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu boleh memilih berdiam diri
tetapi Anwar mahu menjelaskan mengapa beliau mahu membuat kenyataan
itu.
Kenyataan bukan bersumpah dari kamar dikira sebagai keterangan yang tidak boleh diterima.
Surendran turut meminta mahkamah mempertimbangkan kenyataan bukan bersumpah anak guamnya semasa perbicaraan.
Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menolak kenyataan bukan bersumpah itu dan menyifatkannya penafian kosong pertuduhan.
Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar hujah pihak pendakwaan dalam
perbicaraan rayuan kes liwat Anwar yang masuk hari keempat hari ini.
Shafee mengetuai pendakwaan dalam menangkis beberapa perkara yang ditimbulkan peguambela Anwar sepanjang tiga hari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.