Jumaat, 3 Oktober 2014

Rakyat tidak lagi tertipu dengan ‘rasionalisasi subsidi’

DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI


1. Kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen semalam dan bersembunyi disebalik alasan rasionalisasi subsidi kononnya memperlihatkan betapa rasionalnya tindakan kerajaan mengurangkan subsidi bahan api tersebut. Namun, rakyat tidak lagi tertipu dengan penggunaan frasa ‘rasionalisasi subsidi’ yang digunakan pihak kerajaan kerana ia tidak pernah menunjukkan suatu tindakan yang rasional dengan mengurangi subsidi tersebut.

2. Saya merasa musykil dengan kenaikan harga bahan api yang dilakukan pihak kerajaan semalam sedangkan beberapa hari yang lalu, harga minyak West Texas Intermediate (WTI) mengalami penurunan 4% susulan daripada penurunan sebanyak 3.3% pada awal minggu lepas. Trend penurunan harga minyak juga berlaku di beberapa negara yang lain.

3. Laporan daripada US Energy Information Administration menunjukkan Malaysia di antara negara pengeksport minyak terbesar di kalangan negara-negara dunia dan di Asia Tenggara. Malah, Malaysia juga adalah negara penyimpan minyak (oil reserve) yang keempat terbesar di Asia Pasifik dibelakang China, India dan Vietnam. Keadaan ini menunjukkan Malaysia sepatutnya tidak terlalu terkesan dengan perubahan harga minyak dunia. Ironinya, Malaysia sebagai pengeksport utama minyak (net oil exporter) dan penyimpan minyak (oil reserves) berbanding negara Thailand, Singapore dan Indonesia menyaksikan kenaikan harga minyak semalam.

4. Saya mengecam tindakan kerajaan menaikkan harga minyak. Dalam keadaan kos sara hidup rakyat hari ini yang semakin menghimpit, beban kewangan rakyat pula semakin bertambah. Apatah lagi dengan pengenalan kepada sistem pencukaian regresif dan bersikap meluas seperti GST yang sememangnya akan memberikan suatu bentuk tekanan kepada kehidupan rakyat di bawah. Tindakan mengurangkan subsidi bahan api ini adalah sebahagian daripada perancangan kerajaan untuk mengurangkan defisit dalam perbelanjaan negara di samping bebanan hutang kerajaan (government debt) yang semakin kronik. Persoalan saya, adakah ini sahaja cara bagi kerajaan berjimat?

5. Lebih menghairankan lagi, kerajaan memohon Penambahan Perbelanjaan (Supplementary Budget) setiap tahun. Walaupun sedar bebanan hutang awam yang ada sepatutnya menjadikan kerajaan lebih teliti dan cermat dalam pengurusan bajet. Namun, meskipun berlaku penambahan perbelanjaan, subsidi tetap juga dipotong pihak kerajaan.

6. Tambahan pula, subsidi kerajaan bukan hanya pada bahan api semata-mata, malah kerajaan juga memberikan subsidi kepada pihak lain seperti TNB dan Penjana Tenaga Bebas (IPP) yang berselindung disebalik nama insentif, geran dan sebagainya. TNB menunjukkan keuntungan berbilion ringgit, mengapa tidak dikurangkan subsidi ke atasnya jika pengurangan subsidi ini disifatkan sebagai suatu tindakan yang mustahak?

7. Jelas kenaikan harga minyak ini tidak menguntungkan rakyat sama sekali malah  ia akan memberikan kesan berantai yang akan meningkatkan kadar inflasi dalam negara. Ditambah lagi dengan perlaksanaan GST yang turut akan memberi kesan kepada kenaikan inflasi kelak. Ini akan menyebabkan beban kewangan rakyat terus bertambah dan kerajaan terus memekakkan diri!

8. Realitinya pemborosan dan kegagalan kerajaan menguruskan kewangan dan fiskal negara telah memangsakan subsidi minyak rakyat yang dinikmati sekian lama. Sekiranya kerajaan berjaya menguruskan fiskal negara dengan baik pasti subsidi tersebut akan dapat terus dinikmati.

9. Saya menyeru kerajaan untuk mengembalikan hak rakyat untuk menikmati subsidi minyak. Renunglah firman Allah

وَآتُوهُم مِّن مَّالِ اللَّهِ الَّذِي آتَاكُمْ ﴾(النور: 33)
Maksudnya: "dan berikanlah kepada mereka daripada harta Allah yang Dia berikan kepada kamu" surah an-Nuur ayat 33.

Renunglah juga firman Allah

آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَأَنْفِقُوا مِمَّا جَعَلَكُمْ مُسْتَخْلَفِينَ فِيهِ ۖ فَالَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَأَنْفَقُوا لَهُمْ أَجْرٌ كَبِيرٌ

Maksudnya: "Berimanlah kamu dengan Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah daripada apa yang Allah jadikan kamu sebagai penjaga amanahnya"
Surah al-Hadid ayat 7


(*)  Penulis ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.