Khamis, 2 Oktober 2014

Kaji Semula Pengurangan Subsidi, Kenaikan Bebankan Rakyat

Oleh: SOFEA SUSAN ALBERT KASSIM 
 
 
 
 
 
PETALING JAYA: Kerajaan didesak mengkaji semula harga baharu petrol RON95 dan diesel yang masing-masing naik 20 sen seliter berkuat kuasa tengah malam Rabu akibat pengurangan subsidi kerana ia membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Desakan tersebut dibuat kerana orang ramai menjangkakan kenaikan harga petrol dan diesel akan menyebabkan harga barangan keperluan, kos perkhidmatan dan tambang pengangkutan awam akan bertambah mahal.

Orang ramai yang ditemui mStar Online pada Khamis menghargai langkah kerajaan yang masih memberikan subsidi bahan api itu kepada rakyat tetapi berharap harga tersebut dikaji semula kerana kenaikan itu memberi impak besar untuk tempoh jangka masa panjang.

Pada Rabu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

Terkejut dengan pengurangan subsidi tersebut, seorang jurutera, Mohd Azman Othman, 45, berkata, keputusan untuk mengurangkan subsidi tidak dilakukan pada waktu yang sesuai kerana umat Islam akan menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha, Ahad ini.

"Pengumuman tersebut menyebabkan beberapa peniaga akan menggunakan faktor kenaikan harga minyak untuk menaikkan harga barangan terutamanya barangan keperluan asas untuk menyambut Aidiladha.

"Dahlah nak balik kampung... kena keluar duit pula untuk beli barang yang harganya pasti akan naik... orang yang akan terbeban adalah rakyat, kerajaan patut fikir" katanya.

Deretan kenderaan memenuhi stesen minyak di ibu negara selepas kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 dan diesel naik sebanyak 20 sen berkuat kuasa tengah malam Rabu.

Eksekutif Francais , Zulaikha Zahid, 29, pula mencadangkan agar pemberian insentif Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dimansuhkan bagi menampung pengurangan subsidi minyak supaya semua lapisan masyarakat boleh menikmati faedahnya.

"Pemberian BR1M hanya disalurkan kepada golongan yang dikelaskan berpendapatan rendah tapi apa nasib golongan berpendapatan sederhana yang semakin tertekan apatah lagi kebanyakan mereka tinggal di bandar-bandar besar di negara ini," katanya.

Zulaikha berkata, kerajaan perlu mencari jalan untuk menangkis beban kenaikan ini bukan memberi pujukan berbentuk BR1M untuk meredakan kemarahan rakyat.

Sementara itu, pemandu lori, Sivalingam Ramasamy, 50, berkata, dia tiada pilihan lain dan terpaksa menaikkan caj perkhidmatan pengangkutan kepada pelanggan disebabkan kenaikan harga minyak.

"Jika dulu perjalanan ke Sungai Buloh dengan menggunakan lori 1 tan hanya sekitar RM300, kini kita terpaksa menaikkan kadar sewa lori sebanyak RM80 hingga RM100. Ia untuk menampung bayaran bulanan lori dan juga kos petrol," katanya.

Walaupun pelanggan akan merungut dengan bayaran sewa lori yang jauh lebih mahal, Sivalingam berkata, ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kos yang ditanggung juga meningkat.

"Apabila harga minyak naik, kos juga meningkat, jadi kami terpaksa naikkan caj perkhidmatan bagi menampung kos pengangkutan," katanya.

Eksekutif Jualan, Carmen Wong berkata, kenaikan sebanyak 20 sen bagi petrol RON95 dan diesel akan dirasai sepenuhnya apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan berkuat kuasa April depan.

"Mungkin sekarang impak itu belum jelas lagi, tapi dalam tempoh enam bulan akan datang, rakyat akan mula merasai bebanannya. Saya minta kerajaan perhalusi harga baharu itu supaya rakyat tidak akan merasa tertekan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.

Suri rumah, Bori Ellen, 28, berkata pengurangan subsidi minyak itu turut memberi kesan kepada perbelanjaan dapur.

"Suri rumah terlibat secara langsung menguruskan perbelanjaan keluarga dan apabila berlaku kenaikan harga barangan, kami perlu mengurus secara bijak selain berjimat cermat.

"Walaupun hakikatnya, suami mencari rezeki tetapi perancangan ekonomi keluarga adalah tanggungjawab suri rumah. Kami amat terasa perbezaan berbelanja sekarang dengan dahulu terutamanya perbelanjaan dapur,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.