MALAYSIAKINI
Polis menyerahkan kepada pihak pentadbiran Universiti Malaya (UM) sama
ada membenarkan ataupun tidak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim
masuk ke universiti itu bagi menghadiri program pidato dijadualkan
malam ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata polis tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran universiti itu.
Bagaimanapun, katanya polis akan memantau dan menempatkan anggota di
kawasan luar universiti itu khususnya di sekitar Masjid Ar-Rahman untuk
memastikan tidak berlaku perkara tidak diingini.
"Itu tanggungjawab kita (polis) untuk memastikan keselamatan awam di
kawasan luar universiti. Tetapi dalam universiti saya serahkan kepada
pihak universiti. Kita akan menempatkan anggota secukupnya kerana hendak
memastikan kaedah keselamatan, tidak ada gangguan dan sebagainya,"
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penghormatan
Kepada 'Wira Yang Tidak Didendang' Pasukan Penyelamat MH17 di Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan di sini, hari ini. Turut hadir
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh dan Pengetua SMK Seri
Ampangan Mohd Sazali Sam.
Khalid berkata terpulang kepada pihak universiti itu sama ada mahu membenarkan Anwar menghadiri program itu atau sebaliknya.
Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) sebelum ini dilaporkan akan
meneruskan program pidato Anwar di kampus itu malam ini walaupun
pengurusan kampus mengeluarkan larangan menerusi Timbalan Naib
Canselornya, Profesor Datuk Dr Rohana Yusof.
Sementara itu, berhubung pendengaran rayuan Anwar terhadap sabitan dan
hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantu
peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan di
Putrajaya esok dan lusa, Khalid menasihati semua pihak termasuk
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya menghormati proses undang-undang.
"Ini adalah proses undang-undang biasa. Saya minta pihak yang tidak
berkenaan tidak perlu ganggu keadaan atau perjalanan perbicaraan
mahkamah. Biarkan mahkamah bersidang dengan aman damai dan membuat
keputusan.
"Kita (polis) bagaimanapun, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku," katanya.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.