MALAYSIAKINI
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bukan saja beliau
bakal berdepan hukuman penjara kerana kes liwat kedua, bahkan terdapat
kemungkinan berdepan hukuman penjara tambahan atas dakwaan kes hasutan.
Katanya, meskipun beliau dipenjarakan kerana kes liwat yang bakal
diputuskan Mahkamah Persekutuan, kemungkinan pihak berkuasa mahu beliau
mendiami penjara lebih lama dengan kes hasutan.
Dalam
wawancara di kediamannya di Segambut itu, Anwar nampak mesra dan
tersenyum walaupun berdepan kemungkinan karier politik beliau akan
sekali lagi dijejaskan dalam masa beberapa hari lagi.
Malah ada yang mengatakan karier politik Anwar bakal berakhir sekiranya dijatuhkan hukuman lebih lima tahun penjara.
"Kes (hasutan) ini diluar siasatan polis kerana mereka telah menutup kes
ini. Tetapi ada arahan dari Putrajaya kepada Pejabat Peguam Negara
(AG).
"Saya ada masalah dengan AG, (Tan Sri) Abdul Gani (Patail) kerana beliau
menganggap ia peribadi, walaupun saya amat berhati-hati.
"Saya hanya bercakap menentang sistem, kemungkinan penglibatan perdana
menteri (dalam kes Altantuya Shaariibuu) dan langsung tidak menyentuh
AG.
"Saya
diberitahu mereka (polis) perlu mengambil keterangan saya kerana mereka
(kerajaan) mahu membuat pendakwaan (hasutan), dan sepatutnya ia
disediakan minggu depan (selepas kes liwat)," katanya dalam wawancara
itu kepada Malaysiakini.
Anwar yang juga ketua umum PKR antara beberapa ahli politik terbaru yang disiasat bawah akta hasutan sejak Ogos lalu.
Polis mengambil kenyataan Anwar bulan lalu kerana isi ceramahnya pada
2011 di Gombak di mana beliau melancarkan kempen 'Datuk Najib Altantuya'
(DNA).
Tiada Perjanjian 2004
Anwar turut menafikan bahawa beliau mempunyai perjanjian dengan kerajaan
bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004, untuk membebaskan dari kes
liwat sebelum ini yang dianggap "tidak dapat dipertahankan sebabnya."
"Ini tidak benar. Tiada sebarang jawapan diberi, kecuali ketika mula-mula berlaku (pendakwaan kes liwat pertama).
"Satu-satunya
masa saya meninggi suara adalah ketika menentang (bekas PM) Tun Dr
Mahathir Mohamad (ketika beliau membuat tawaran): 'Anda pilih dakwaan,
atau mahu berapa banyak wang untuk tinggal di luar negara?" kata Anwar
ketika menceritakan tawaran bekas ketuanya itu.
Anwar pada 1998 dipecat Mahathir yang menuduh beliau seorang homoseksual dan menyebabkan episod liwat 1.
"Saya berkata tidak (kepada tawaran Mahathir), ia satu-satunya ketika hal ini diperkatakan.
"Walaupun selepas itu, saya dengar ada beberapa rancangan, tetapi tidak pernah sampai kepada saya.
"Walaupun ia sampai kepada saya, tak mungkin selepas dipenjara enam
tahun untuk tuduhan tidak betul. Kenapa nak kompromi?" katanya.
Seorang peguam kanan yang rapat dengan kepimpinan Umno memberitahu Malaysiakini
terdapat perjanjian pada 2004 untuk membebaskan Anwar, di mana
sebahagian daripadanya ialah bekas timbalan perdana menteri itu bersara
terus dari politik.
Perjanjian
itu turut melibatkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tun Abdul Hamid
Mohamad menulis dalam penghakimannya insiden liwat itu benar-benar
berlaku.
Anwar telah memohon untuk membuang ayat yang dipertikaikan dalam penghakiman majoriti Abdul Hamid awal tahun ini tetapi gagal.
Ketua pembangkang itu dalam reaksi segera terhadap keputusan mahkamah
ketika itu ialah "Allah! Ini seperti satu lagi keputusan penghakiman!
Mengapa semua yang dibuat menentang Anwar jadi seperti ini?"
Kemudian Malaysiakini bertanya apakah pendakwaan kes liwat II
dilakukan kerana beliau tidak mematuhi perjanjian 2004, dan beliau
menyatakan perjanjian sebegitu adalah salah dan tidak patut dibuat.
"Adakah ketika itu menjadi asas (untuk mendakwa saya) kerana Anwar tidak
mematuhi komitmennya (terhadap perjanjian itu), adakah ada komitmen?
"Ini amat penting, melibatkan persoalan moral dan etika. Jika terdapat
perjanjian, ia memang tidak betul. Walaupun untuk mereka mematuhi
perjanjian itu, ia tidak dapat dipertahankan," kata beliau.
Insiden mata hitam
Sementara itu Anwar menyatakan beliau kini lebih bersedia secara mental
jika hukuman penjara dijatuhkan. Bagaimanapun persediaan fizikal mungkin
terjejas kerana faktor usia beliau yang menjangkau 67 tahun ini.
Anwar
berkata masih jelas ingatan beliau apabila kali pertama ditangkap dan
dibawa ke ibupejabat polis Bukit Aman (pada 1998) dengan digari,
dicampak ke dalam lokap sebelum diserang oleh ketua polis negara ketika
itu (Tan Sri Abdul Rahim Noor) menyebabkan mata kanannya lebam.
"Tentunya ia memberi trauma. Anda sedar ia salah satu episod paling
teruk dan hitam dalam hidup. Ketika itu saya berumur 50, kuat dari segi
mental dan fizikal, bukan 67 (seperti sekarang)," kata beliau.
Walaupun menyatakan bersedia dari segi mental, Anwar berkata beliau
mempunyai harapan kecil bahawa mahkamah akan membuat keputusan yang
masuk akal dan siuman.
"Saya menjangkakan mahkamah paling tinggi negara akan menghormati
prinsip kebebasan perundangan dan membuat keputusan berdasarkan
undang-undang dan fakta," kata beliau.
Anwar
yang mempunyai enam anak dan lima cucu setakat ini berkata beberapa
rakan dari luar negara telah meminta beliau untuk tidak kembali dalam
lawatan terakhirnya keluar negara minggu lalu, tetapi beliau tetap
kembali ke negara ini.
Beliau juga berkata ini bukan bermaksud mahu membuktikan diri sebagai
hero tetapi dia mahu menunjukkan beberapa kroni yang memanggil beliau
pengecut walaupun mereka sendiri tidak berani berdepan satu hari dalam
penjara.
Menurut beliau, kesediaan beliau berdepan dengan kemungkinan dipenjara
menjadi cara untuk memberitahu golongan muda menuntut perubahan serta
memperjuangkan kebebasan dan keadilan.
"Untuk mendapatkan perubahan, perjuangan untuk kebebasan dan keadilan
menuntut pengorbanan kecil, dan ini harga yang saya perlu bayar," kata
beliau.
Keputusan rayuan kes liwat II Anwar akan didengar di Mahkamah Persekutuan Selasa dan Rabu ini dijangka depan panel lima hakim.
[Baca berita asal]
Wawancara ini dijalankan oleh Zakiah Koya, Hafiz Yatim, Alyaa Azhar, Radzi Razak dan Prasadh Michael.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.