Jumaat, 3 Oktober 2014

Akta Hasutan: Peguam berarak 16 Okt

MALAYSIAKINI


 


Majlis Peguam mengumumkan bahawa perarakan anjurannya bagi membantah Akta Hasutan 1948 akan diadakan pada 16 Oktober.

Perarakan tersebut yang diputuskan oleh anggota badan tersebut dalam mesyuarat agung luar biasa bulan lalu digelar 'Perarakan untuk Keamanan dan Kebebasan 2014'.

Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong (kanan) berkata peguam itu akan berhimpun untuk perarakan pada jam 10.30 pagi di Padang Merbok, Kuala Lumpur dengan pakaian mahkamah.

Katanya, badan itu percaya bahawa keamanan yang berterusan, perpaduan dan sikap hormat menghormati hanya dapat dianjurkan melalui “perbahasan sihat, kepelbagaian pandangan, dan kebebasan bersuara”.

"Akta Hasutan 1948 adalah bercanggah dan memundurkan nilai ini, dan juga aspirasi untuk Malaysia yang lebih baik.

"Saya menyeru seluruh anggota dan peguam pelatih untuk menyertai perarakan dan menyatakan aspirasi serta sokongan untuk Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Badan tersebut sebelum ini menganjurkan perarakan bagi membantah keganasan polis dan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011.

Pada 2007, badan tersebut menganjurkan 'Perakarakan Untuk Keadilan' yang disertai 2001 peguam dalam perarakan ke Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya bagi menuntut suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan bagi menangani kemerosotan dalam badan kehakiman.

Susualn itu, perdana menteri pada masa itu Tun Abdullah Ahmad Badawi menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat kes video VK Lingam dan pelantikan hakim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.