KHALID IBRAHIM
ULASAN Syukur Alhamdulillah hari ini
merupakan hari terakhir saya sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor
selepas lebih enam tahun memegang jawatan ini bermula pada Mac 2008
sehinggalah ke hari ini, 22 September 2014.
Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan
setinggi-tinggi penghargaan kepada semua terutama kepada rakyat Selangor
yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui pentadbiran
negeri termaju di Malaysia ini.
Saya juga amat berbangga dengan kerjasama dan komitmen yang telah
ditunjukkan oleh pegawai dan kakitangan kerajaan, anak-anak syarikat,
agensi kerajaan dan badan-badan berkanun yang membolehkan banyak
perubahan dilaksanakan berbanding pada awal pertukaran pucuk pimpinan.
Saya berbangga kerana dalam tempoh enam tahun ini, Negeri Selangor yang
diurus berlandaskan prinsip-prinsip urus tadbir yang baik terutama
kompetensi, ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti telah mencapai
banyak kejayaan yang membanggakan dan lebih penting Negeri Selangor
bebas dari gejala rasuah dan penyelewengan.
Dasar Hasil Negeri Untuk Rakyat yang diperkenalkan sejak 2008 menerusi
program-program kebajikan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor
(MES) berjaya mencapai matlamat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat
terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Kita telah membelanjakan lebih RM1.6 bilion semenjak 2008 bagi membiayai
pelbagai inisiatif dan skim bersifat kebajikan di bawah MES di mana
sekurang-kurangnya empat juta penduduk di Selangor menikmati salah satu
daripada inisiatif ini.
Menerusi dasar berjimat cermat dan perbelanjaan berhemah, rizab simpanan
negeri Selangor meningkat kepada RM3.3 bilion setakat ini dan
sebahagian simpanan ini telah kita gunakan untuk projek-projek
pembangunan seperti pembinaan Jambatan Ketiga Klang dan perumahan mampu
milik.
Di bawah pentadbiran saya dan rakan-rakan EXCO, Negeri Selangor
meneruskan tradisi sebagai pemangkin ekonomi negara dengan menyumbang
lebih kurang 24 peratus kepada KDNK Malaysia di samping kekal menjadi
antara destinasi pelaburan terunggul.
Kita juga telah mencapai persetujuan bersejarah dengan Kerajaan
Persekutuan dan empat syarikat konsesi untuk menstruktur semula
perkhidmatan air setelah melalui satu proses yang bermula sejak 2008
supaya semua aset air dapat dikembalikan kepada rakyat di samping
memastikan perkhidmatan air bertaraf antarabangsa pada harga berpatutan.
Ingin saya tegaskan bahawa tawaran untuk mengambilalih syarikat-syarikat
konsesi adalah adil dan saksama bagi semua pihak tanpa memberi
kelebihan kepada mana-mana pemegang konsesi memandangkan matlamat utama
adalah memelihara kepentingan rakyat kerana air merupakan antara hak
asasi.
Walaupun hanya satu konsesi yang belum memuktamadkan tawaran namun ia
tidak sepatutnya menjejaskan tawaran yang telah kita buat sejak 2012
berjumlah RM9.65 bilion.
Pada hari ini juga, kerajaan negeri telah menandatangi Perjanjian
Pemindahan Aset untuk memindahkan semua aset air milik negeri bernilai
RM14.92 bilion kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Perjanjian ini ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’
Khusrin Munawi mewakili kerajaan negeri manakala Air Selangor diwakili
oleh Suhaimi Kamaralzaman.
Saya berpuashati dengan perkembangan penstrukturan semula industri air
Selangor yang sedang berlaku sekarang dan yakin hasrat untuk memberi
semula hak air kepada rakyat sepertimana yang terkandung dalam manifesto
akan tercapai.
Justeru, saya berharap kepimpinan baharu kerajaan negeri akan berjaya
merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk memberi saham air kepada
seluruh isi rumah di Negeri Selangor.
KHALID IBRAHIM berkhidmat sebagai menteri besar Selangor di bawah kerajaan Pakatan Rakyat selama enam tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.