Rabu, 17 September 2014

‘Serangan’ guna Akta Hasutan lahirkan lebih ramai aktivis rakyat

10655201_855415587802897_411764132591799152_o

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Pendakwaan dan penyiasatan ke atas puluhan ahli politik Pakatan Rakyat, pensyarah, wartawan, aktivis dan penceramah bebas akan melahirkan lebih ramai aktivis rakyat, kata Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Teresa Kok.

Merujuk ‘Operasi Lalang’ yang berlaku dibawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pada 1987, Teresa berkata, insiden tersebut tidak jauh bezanya dengan apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak.

“Penahanan secara beramai-ramai tidak mematahkan semangat perjuangan ahli politk pembangkang dan akvtis. Saya pada waktu itu sebagai pelajar. Apa yang berlaku menggalakkan saya untuk menyertai parti politik.

“Apa yang mereka buat adalah sesuatu yang baik. Pergerakan akan bermula dari sekarang,” kata Teresa dalam majlis pelancaran Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, dakwaan di bawah Akta Hasutan ke atasnya adalah sesuatu yang lucu, apabila beliau hanya melakukan satira politik melalui video yang menjadi salah satu medium menyatakan pandangan rakyat.

Bekas Exco kerajaan Selangor itu didakwa di bawah Akta Hasutan Mei lalu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung satu klip video bertajuk ‘Onederful Malaysia’ yang disiarkan sempena perayaan Tahun Baru Cina awal tahun ini.

Dalam klip video berdurasi hampir 12 minit itu, Teresa berlakon sebagai pengacara yang menemuramah tiga tetamu mengenai Feng Shui (ilmu topografi kuno China berkaitan alam bertujuan memperbaiki kehidupan).

Para pelakon tesebut mengeluarkan dialog menyindir, antaranya mengenai pemimpin negara, sistem pendidikan dan isu keselamatan di Sabah.

Teresa dalam ucapannya memberitahu pernah ditemubual agensi berita luar negara berhubung isu tersebut, dan terkejut sebaik mengetahui video klip itu punca beliau didakwa di bawah Akta Hasutan.
“Ini adalah rekod. Lawak jenaka pun jadi masalah,” kata Teresa disambut ketawa hadirin.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan hadirin untuk terus memainkan peranan dalam gerakan menghapuskan Akta Hasutan.

“(Jika) mereka ‘goncang’ kami dengan pendakwaan, kita ‘goncangkan’ mereka yang berkuasa sehingga mereka jatuh,” ujarnya.

Program pelancaran GHAH diakhiri dengan bacaan puisi oleh Sasterawan Negara datuk A Samad Said berjudul, ‘Diatas padang sejarah (2)’.

Penganjur memaklumkan, pelancaran GHAH yang turut disiarkan ke seluruh dunia melalui laman web Radio Bangsar Utama diikuti lebih 1,000 pendengar dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Kanada, Jerman, Sweden, Thailand dan Australia. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.