Setelah 8 bulan krisis pelantikan menteri besar Selangor berlanjutan, orang ramai berpandangan para pemimpin politik perlu memberikan tumpuan kepada mereka pula.Mereka sudah jelak dengan krisis yang berpanjangan ini dan mahukan semua wakil rakyat yang mereka pilih memberi fokus kepada tugas mereka sebagai wakil rakyat.
Mereka mahu jalan-jalan yang berlubang di sana sini ditampal dan mereka mahu parit serta longkang tersumbat diperbetulkan kerana ia menjadi tempat musuh manusia membiak.
Mereka juga mahu khidmat kesihatan rakyat dipertingkatkan, kualiti kebersihan dan keindahan dijaga bahkan mereka juga mahu masalah kesesakan dan kelemahan sistem pengangkutan awam diselesaikan segera.
Mereka juga mahu kerajaan negeri Selangor yang dikatakan kaya ini mempertingkatkan kemudahan pendidikan dan memastikan harga rumah berpatutan untuk rakyat.
Tak guna kerajaan negeri ada berbilion ringgit dalam kantungnya tetapi mereka tetap berada di tahap yang sama. Wakil-wakil rakyat mereka sibuk berpolitik siang malam. Pengkhianat sana, pengkhianat sini, barua sana barua sini. Munafik sana, munafik sini dan entah apa-apa lagi yang dihamburkan.
Selepas sultan berkenan melantik Mohamed Azmin Ali sebagai Dato' Menteri Besar Selangor yang baru, mereka sangat berharap parti-parti Pakatan Rakyat (PR) akan menyokong beliau sepenuhnya dan mempersiapkan diri untuk maju ke depan.
Tiba-tiba, DAP pula membuat kenyataan menyesali empat exco PAS yang bersama-sama Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan kerajaan negeri, kononnya mereka pengkhianat. Padahal semua tahu, kerajaan Khalid sementara sahaja sebelum menteri besar baru dilantik oleh Tuanku Sultan.
Kalau mereka berempat tidak ada di situ, sudah tentu Khalid terpaksa melantik orang lain untuk mempastikan kerajaan itu kekal dan pilihan raya semula negeri tidak perlu diadakan.
Kalau lantik orang lain, bagaimana kalau mereka daripada Umno. Adakah itu yang dikehendaki DAP? Jadi agak-agaklah sebelum membuat komen bukan-bukan dan kadang-kadang tidak perlu sebenarnya.
Bila DAP dah tuduh macam tu, PAS sudah tentu akan jawab. Sekurang-kurangnya sekarang PAS teragak-agak dalam sikapnya terhadap kerajaan baru di bawah pimpinan Azmin.
Sehingga tulisan ini ditulis, tidak ada sebarang kenyataan rasmi daripada PAS terhadap keputusan Sultan Selangor untuk melantik Azmin sebagai menteri besar baru.
Jangan-jangan PAS mengambil keputusan untuk tidak menyertai kerajaan itu dan menjadi Adun bebas ekoran kenyataan DAP itu. Ia tidak mengejutkan kalau diperhatikan daripada gaya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika memberikan ucapan penangguhan di Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat kelmarin.
Harap-harapnya tidak begitu. Rakyat sekarang mahukan mereka pula yang dimanja. Banyak harapan mereka yang perlu ditunaikan oleh PR.
Lantiklah segera para exco dan susunlah segera kakitangan di pejabat menteri besar tu.
Kalau terus-terusan bergaduh, nanti ada yang jerkah... Oiii sudah-sudahlah tu www.themalaysianinsider.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.