ANALISIS - Komitmen Pas untuk konsisten meneruskan tahaluf siyasi dalam PR yang sebelum ini berantakan akibat percanggahan pendirian dalam memilih calon Menteri Besar Selangor kian diragui selepas ucapan penggulungan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Pas ke-60 yang melabuhkan tirainya semalam, menghantar isyarat yang jelas dan keras terhadap rakan komponen parti pembangkang itu.
Ucapan Abdul Hadi sarat dengan nasihat, teguran, kritikan, persoalan dan pendirian untuk mempertahankan parti Islam itu daripada cubaan mengikis imej Islam dan perlembagaannya apabila melakukan kerjasama politik bersama PKR dan DAP.
Muktamar Pas Pusat ke-60 itu juga telah menyerlahkan belang sebenar Abdul Hadi, pimpinan dan perwakilan yang sebulat suara mahu menepis anasir luar termasuk rakan komponen dalam menentukan hala tuju Pas, sedang tahaluf siyasi membenarkan mereka mengamalkan ideologi masing-masing.
Abdul Hadi antara paling lantang berhujah apabila mempersoalkan kepentingan Akuan Bersumpah (SD) berbanding bai'ah Pas dalam menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor.
"Tidakkah wakil rakyat kita berbai'ah semasa hendak pilihan raya.
"Mana lebih besar, bai'ah atau SD," soalnya ketika menyampaikan ucapan penggulungan dan penangguhan Muktamar Pas Pusat ke-60 di Parit Raja, Batu Pahat, semalam.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi turut menyelar tindakan dua Adunnya di Selangor, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib) yang menandatangani SD itu sebagai broker atau barua yang mendahului keputusan Pas.
"Mereka curi wakil rakyat kita. Inikah etika kita bertahaluf?
"Kita tidak pandang ringan dua wakil rakyat kita, ada jadi broker, yang jadi barua semua ada," katanya.
Abdul Hadi juga turut memberi amaran kepada rakan tahalufnya supaya tidak menjadikan Pas sebagai tempat persinggahan demi mencapai tujuan dan matlamat politik mereka.
"Jangan jadikan Pas ini 'hotel atau jambatan pendek' untuk melintas sungai kemudian masuk hutan.
"Kita bertahaluf dengan PKR dan DAP melalui titik persamaan. Ahli Pas mesti faham ada perbezaan," tegasnya.
Aspek ketaatan kepada pemimpin Pas atau wala' turut diberi penekanan oleh Abdul Hadi kepada pimpinan semua peringkat dan ahli parti Islam itu.
Menurutnya, tindakan pemimpin dan ahlinya yang tidak wala' adalah bertentangan dengan prinsip berjemaah dalam parti itu, dan wala' kepada pihak lain adalah haram dalam jemaah Islam.
Begitu juga katanya dengan tindakan membocorkan rahsia mesyuarat parti serta membawa agenda pihak lain ke dalam parti.
"Wala' dengan pihak lain diharamkan, kita kena pegang kepada jati diri Islam," katanya.
Sementara itu, terdapat juga sesetengah perwakilan menyuarakan bahawa jika Sultan memilih Adun Pas menjadi Menteri Besar, jawatan itu perlu ditolak demi menjaga kesetiaan Pas dalam bertahaluf dengan PR.
Bagaimanapun perwakilan yang hadir tidak mudah menerimanya bulat-bulat susulan Pas mempunyai kerusi Dun yang mencukupi untuk menuntut kerusi panas itu namun Abdul Hadi menegaskan Pas tidak pelahap dengan jawatan tersebut.
"Walaupun Pas ada 15 kerusi, PKR ada 13 dan DAP 15, mengikut Perlembagaan Selangor, menteri besar mesti Melayu Islam, Pas tidak berebut jawatan itu.
"Tetapi dalam hal ini ada hukum syaraknya, jangan ikut hukum akal sahaja. Kita tidak boleh biarkan negeri dan rajanya, kita ada peranannya dan tidak boleh berdiam diri," ulasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.