TUMPAT: Menjelang hari pengundian 25 September ini, Umno kelihatan semakin gelabah apabila terpaksa menjelaskan isu peribadi calon dan menjawab isu royalti yang sudah menjadi viral kalangan anak-anak muda di Kelantan.
Keadaan tambah keliru apabila ramai pengundi masyarakat Siam berani tampil memberitahu mereka tidak boleh menerima calon yang tak mereka kenali.
Biar pun segala jenis kelengkapan kempen dibawa ke Pengkalan Kubor dan aneka jenis kereta dan peralatan, namun keperibadian calon BN, Mat Razi Mat Ail meniti setiap bibir penduduk di Pengkalan Kubor.
Guru-guru ditukar kerana politik, penafian pelajar terhadap Kumpulan Wang Amanah Pelajar ((KWAP), bantuan banjir pelajar dan banyak cerita berkisar peribadi calon BN mulai diperkatakan secara meluas sekarang.
Eh Ron, 67, dari Kampung Mertua berkata, masyarakat Siam hanya berminat pemimpin yang lebih dekat dengan mereka dan bukan yang tidak pernah dikenali.
Katanya, kalau tidak kenal macam mana hendak diharapkan dia boleh membantu masyarakat Siam.
“Bagi calon PAS, Wan Rosdi kita sudah lama kenal dia. Selalu datang ke Kampung Mertua. Sejak enam tahun lepas hubungan begitu rapat. Pemimpin macam inilah yang kita harapkan dapat membantu masyarakat Siam.
“Calon BN kita tidak kenal biar pun ada orang sebut bekerja sebagai guru. Kalau tak kenal payah sikit hendak pilih. Dahulu wakil rakyat BN kita kenal dia,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau ditemui selepas program penyampaian bantuan baja organik oleh kerajaan negeri di Jubakar Darat dekat sini semalam.
Penyampaian dilakukan anggota Exco, Datuk Che Abdullah Mat Nawi. Hadir sama anggota Exco, Datuk Anuar Tan Abdullah, Pengurus Besar Kumpulan Kelantan Sdn Bhd, Abdul Aziz Yunus dan Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Lim Guan Seng.
Seramai 100 petani masyarakat Siam dari beberapa kampung menerima baja organik 50 kg dan empat jenis benih sayur-sayuran termasuk jagung.
Jelas terbayang kegembiraan di wajah mereka. Sebaik sahaja mendapat baja tersebut ada yang membawa balik baja dengan basikal dan motosikal.
Eh Ron yang kini menderita sakit buah pinggang dan terpaksa menjalani dialisis sejak lima tahun lepas berkata, masyarakat Siam menerima banyak kemudahan disediakan kerajaan negeri termasuk bantuan Skim Takaful Kifaalah sebanyak RM1,500 apabila berlaku kematian warga emas.
“Selain itu pemuda yang miskin hendak berkahwin diberi bantuan RM1,000. Wan Rosdi datang sendiri ke rumah penduduk yang meninggal dunia dan menyampaikan bantuan awal Kifaalah sebanyak RM500 sejak beberapa tahun lepas.
“Penduduk Siam rapat sangat dengan dia. Saya yakin ada perubahan undi masyarakat Siam kali ini,” katanya.
Beberapa lagi penduduk Siam ketika ditemui turut mengakui hakikat sama. Paling acap mereka sebut sudah lama kenal Wan Rosdi. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.