MALAYSIAKINI
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini enggan mengulas mengenai bakal pengganti beliau yang dijadualkan mengangkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang, Selasa ini.
Malah, Abdul Khalid juga enggan memberi sebarang komen berhubung proses
penyerahan tugas jawatan tertinggi pentadbiran negeri Selangor itu.
"Tiada...kita sudah setuju tidak boleh buat komen sehingga Selasa
(majlis angkat sumpah)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
'Shah Alam City Ride' anjuran Tourism Selangor di Dataran Kemerdekaan di
Shah Alam, hari ini.
Menteri Besar itu juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya perancangan
beliau seterusnya apabila mengakhiri tugas secara rasmi kelak.
"(Perkara itu) akan diumumkan selepas Selasa," jawabnya ringkas.
Persoalan mengenai siapa pengganti Abdul Khalid masih belum terjawab
sehingga kini walaupun pihak Istana Selangor pada Khamis lepas, telah
mengesahkan bahawa Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor yang
baharu akan diadakan pada Selasa ini di Istana Alam Shah.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani semalam
dilaporkan berkata nama menteri besar yang baharu akan diumumkan
selewat-lewatnya Isnin ini bergantung kepada perkenan Sultan Selangor
Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Nama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa Mohamad
Azmin Ali dan ADUN Cempaka Iskandar Abdul Samad disebut-sebut sebagai
calon yang dikatakan bakal mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar
Selangor yang ke-15 itu.
Bagaimanapun, akhbar The Star hari ini melaporkan Sultan Sharafuddin
telah berkenan menerima menghadap Mohamed Azmin yang juga Timbalan
Presiden PKR, Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor dan seorang
lagi Exco Selangor daripada PAS yang juga Adun Sijangkang, Dr Ahmad
Yunus Hairi secara berasingan pada awal minggu ini.
Akhbar itu melaporkan pertemuan itu adalah bagi membolehkan baginda
menilai kesesuaian mereka untuk memegang jawatan tertinggi dalam
pentadbiran Selangor itu dan merupakan sebahagian daripada
langkah-langkah akhir untuk memutuskan siapakah calon terbaik yang mampu
menggantikan Abdul Khalid.
Sementara itu, Abdul Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang turut enggan
memberi sebarang komen ketika diminta mengulas cubaan terakhir PKR untuk
memohon menghadap Sultan Selangor.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula dalam satu
kenyataan semalam memberitahu parti itu mengambil pendirian bahawa
kedudukan sokongan majoriti Adun Pakatan Rakyat di Selangor terhadap
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berubah.
"Oleh demikian, PKR merafak sembah memohon limpah perkenaan Duli Yang
Maha Mulia Tuanku untuk menghadap bagi mendapatkan nasihat dan ehsan
Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam keadaan sokongan majoriti adalah jelas
dan tidak berubah.
PKR akan terus menjunjung kedaulatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan
Undang-undang Tubuh Negeri Selangor yang dinaungi Duli Yang Maha Mulia
Tuanku," kata Saifuddin.
-- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.