Rabu, 17 September 2014

Haron Din: Cara pilih MB kena sama dengan imam


Muktamar
 
 
 
KULAIJAYA - Kaedah pemilihan ketua kerajaan mestilah mengikut syarat sepertimana pemilihan seorang imam dalam solat yang digariskan oleh Islam, tegas Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din.

Kaedah sama juga ujar Haron terpakai dan perlu digunakan dalam melantik Menteri Besar Selangor.

"Kalau dalam amalan solat ada kaedahnya tentang siapa yang patut dan wajib menjadi imam, dan itu berlaku terus menerus dalam hidup kita dan dalam politik.

"Maka dalam perjuangan, kena kenali, kena hayati siapa yang patut menjadi ketua, dan dipertahankan ketua itu... siapa yang patut menjadi ketua kerajaan, siapa patut menjadi MB, sepatutnya semua maklum," katanya dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulama Pas kali ke-53 di IOI Palm Villa Country Resort, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pergolakan politik di Selangor dalam mencari calon yang sesuai untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

Sebelum ini juga, Majlis Syura Ulama Pas menolak pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar atas dasar pemimpin itu dikatakan tiada kelayakan dan pengalaman cukup bagi memikul amanah berkenaan.

Mengulas lanjut, Haron menambah, Dewan Ulama Pas menjadi tonggak parti dalam mengukuh dan menguatkan perjuangan parti Islam itu.

Jelasnya, meskipun ahli Pas khususnya barisan pimpinan sentiasa mengikuti tarbiyah parti, namun masih wujud segelintir daripadanya tidak memahami serta menghayati perjuangan Pas.

"Ada yang kecundang di tengah jalan...ada pula luruh binasa...ada juga meninggalkan perjuangan dan lebih teruk ada yang mengkhianati perjuangan Pas," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.