MALAYSIAKINI
ADUN DAP Seri Delima, RSN Rayer ditahan di bawah Akta Pertubuhan hari
ini, dan sedang berada di ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut di Jalan
Pattani.
Rayer berkata, polis memintanya memberi keterangan pada kira-kira jam 3
petang dan kemudian diberitahu mengenai tangkapan tersebut.
"Saya hanya diberitahu bahawa ia di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan,
1966," katanya sambil menambah mereka juga memberitahunya yang beliau
perlu tinggal semalaman di ibu pejabat polis itu.
Penahanan Rayer itu dibuat selepas 156 anggota Unit Sukarela peronda
(PPS) ditahan setelah menyertai perarakan sambutan Hari Kemerdekaan
semalam.
Antara mereka yang ditahan adalah exco kerajaan negeri, Phee Boon Poh (kanan) yang juga pengerusi PPS.
Rayer, merupakan salah seorang peguam bagi kumpulan tersebut, yang kini
dibebaskan secara berperingkat, selepas polis gagal mendapatkan perintah
tahanan reman empat hari terhadap mereka.
Mereka ditahan selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
mengisytiharkan PPS haram kerana tidak berdaftar dengan Pendaftar
Pertubuhan.
Minggu lepas Rayer berdepan dua pertuduhan di
bawah Akta Hasutan kerana didakwa mengeluarkan perkataan "celaka" kepada
tiga pemimpin Umno.
Rayer didakwa di mahkamah sesyen di Pulau Pinang hari ini di bawah
Seksyen 4(1)(b) kerana mengeluarkan perkataan itu dalam persidangan
Dewan Undangan Negeri (DUN) pada jam 9.30 pagi 20 Mei.
Wakil rakyat DAP itu turut dituduh mengucapkan perkataan itu dalam satu
ceramah dua hari kemudian, semasa pilihan raya kecil Bukit Gelugor.
Ketika ditemui di luar pintu pagar ibu pejabat polis, Ketua Menteri
Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, OPS George Town Mior Faridalatrash
Wahid telah mengesahkan tangkapan tersebut.
"Mior berkata Rayer adalah tangkapan terakhir tapi kita tak tahu lah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.