Sabtu, 2 Ogos 2014

Tidak ada pelan B untuk ganti Azizah sebagai MB S'gor yang baharu

Oleh Wan Anis Ilyani W. M. Azhar

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menafikan dakwaan PKR mencari calon alternatif sebagai pelan B setelah pencalonan Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor ditolak banyak pihak.
 
Dihubungi Antarapos hari ini, Zuraida menyifatkan tindakan menyebar berita palsu itu sengaja dilakukan pihak tidak bertanggungjawab semata-mata mahu melihat perpecahan dalam Pakatan Rakyat.
 
Beliau juga meminta orang ramai menghentikan spekulasi berhubung jawatan nombor satu itu memandangkan PAS dan DAP belum mengadakan mesyuarat di peringkat parti masing-masing.
 
"Di peringkat PR, kita ada perbincangan kerana Pakatan Rakyat menghormati keputusan yang telah diambil oleh PKR. Jadi, itu mungkin sumber yang tidak sahih dan mungkin ada usaha beberapa pihak yang cuba memecah-belahkan Pakatan Rakyat. Apa pun saya ingat kita tunggu kerana yang menjadi isu sedikit kerana PAS dan sebagainya. Tapi PAS akan bermesyuarat dan kita tunggu keputusan mereka.
 
"Perkara begini biasa. Sewaktu perbincangan itu mungkin ada beberapa nama lain, kerana calon untuk MB ada dua, tiga nama dibincangkan. Namun selepas perbincangan ada keputusan (Wan Azizah). Isu ini tidak berbangkit lagi pada saya," katanya kepada pemberita.
 
Portal berita The Malaysian Insider hari ini melaporkan sumber-sumber PKR memberitahu seorang pemimpin parti itu sudah dikenal pasti namun namanya masih dirahsiakan sehingga konsensus antara PKR-PAS-DAP dicapai.
 
Sumber berkenaan turut memberitahu nama Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut dicadangkan, bagaimanapun ditolak oleh kebanyakan pemimpin PAS.
 
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun dikhabarkan tidak bersetuju dengan pelan alternatif tersebut kerana tetap mahu Azizah yang juga isterinya diangkat sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.
 
Antarapos turut mendapatkan reaksi ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkenaan perkembangan terbaharu ini.
 
"Saya tak boleh beri komen. Saya tidak tahu benar atau tidak. Saya pun tidak tahu siapa yang buat kenyataan itu. Tetapi parti akan beri satu nama sahaja," ujarnya.
 
Semenjak Anwar mengumumkan pencalonan Wan Azizah menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ketiga-tiga parti komponen Pakatan dilihat mula menuding jari antara satu sama lain.
 
Usaha PKR menggugurkan Khalid menjadi sukar setelah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat mempertahankan beliau atas alasan Khalid bebas dari segala skandal dan salah laku pentadbiran.
 
Malah ia semakin memburuk apabila perbincangan kumpulan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat dalam aplikasi WhatsApp yang mencadangkan parti Islam itu keluar Pakatan Rakyat, tersebar.
 
Perbincangan WhatsApp itu mendedahkan Pengarah Operasi Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki mencadangkan kemungkinan PAS bekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dan pada masa yang sama mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.
 
Khalid juga beberapa kali mengulangi tidak akan meletakkan jawatan dan akan terus mengetuai pentadbiran negeri sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.