MISI untuk mempertahankan pingat emas perseorangan lelaki Sukan Komanwel buat kali ketujuh berturut-turut lebur setelah dua wakil negara terkandas di pusingan suku akhir pada Jumaat.
Pemain pilihan utama Chong Wei Feng dan Liew Daren masing-masing disingkirkan oleh atlet India, R V Gurusaidutt dan Kasyap Parupalli dalam perlawanan yang berlangsung di Emirates Arena di Glasgow.
Wei Feng kalah kepada Gurusaidutt 15-21, 21-8 dan 17-21 manakala Daren tersungkur di tangan Kashyap 13-21 dan 14-21.
Nyata amat kecewa, Wei Feng yang ditemui pemberita Malaysia kemudian, berkata beliau memikul tanggungjawab penuh atas kegagalan mempertahankan legasi pingat emas yang diraih negara sejak 1990 itu.
"Saya minta maaf pada rakyat Malaysia. Saya dan Daren tahu cabaran ini begitu sukar memandangkan kita telah memenangi pingat emas dalam tempoh yang lama. Saya tidak mahu mencari alasan dan kami telah bermain dengan baik tetapi lawan kami mempamerkan prestasi cemerlang.
"Lebih mengecewakan saya sebelum ini tidak pernah tewas kepada Gurusaidutt tetapi beliau bermain dengan baik untuk memenangi aksi ini," katanya.
Untuk rekod, pemain perseorangan negara cemerlang dengan pencapaian pingat emas di Sukan Komanwel iaitu menerusi Rashid Sidek pada edisi 1990 dan 1994, Wong Choo Hann (1998), Hafiz Hashim (2002) dan Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2006 dan 2010. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.