MALAYSIAKINI
Berikut adalah kenyataan media bersama Kerajaan Persekutuan dan
Kerajaan Negeri Selangor berhubung penyelesaian jangka panjang isu air
di negeri berkenaan.
Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor hari ini
menandatangani "perjanjian dasar induk" bagi penyelesaian jangka panjang
isu air Selangor.
Lanjutan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan
Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor yang telah ditandatangani pada
26 Februari 2014, hari ini termeterai satu lagi sejarah yang menandakan
kerjasama erat dan komitmen berterusan antara kedua-dua pihak untuk
melaksanakan penyelesaian jangka panjang berkaitan isu air di negeri
Selangor dan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Menteri Tenaga Teknologi Hijau
dan Air, Y.B. Datuk Seri Panglima Maximus Ongkili, dan Kerajaan Negeri
Selangor yang diwakili oleh Dato' Menteri Besar Selangor Darul Ehsan,
Y.A.B. Tan Sri Dato' Seri Khalid bin Ibrahim, telah menandatangani
"Perjanjian Antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Selangor
Mengenai Pelaksanaan Memorandum
Persefahaman Antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Selangor
Berhubung Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Selangor".
Majlis Menandatangani Perjanjian ini turut dihadiri oleh anggota Kabinet
Persekutuan, barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan pegawai-pegawai
kanan Kementerian dan Kerajaan Negeri Selangor.
Pencapaian yang penting (breakthrough) ini terhasil setelah beberapa
perbincangan diadakan antara kedua belah pihak berasaskan kepercayaan
bahawa pertimbangan politik harus diketepikan demi menyelesaikan isu
bekalan air dan penstrukturan semula industri air Selangor bagi
kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
Kebanyakan kandungan MoU tersebut telah diperincikan dalam Perjanjian
ini dan beberapa perkara penting sudahpun dimulakan pelaksanaannya
termasuk Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (Projek
LRAL2) dan penstrukturan semula industri bekalan air Selangor. Selain
daripada ini adalah pelaksanaan projek-projek mitigasi yang dibiayai
oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengatasi kekurangan bekalan air, Hybrid
off River Augmentation System (HORAS) yang dilaksanakan oleh Kerajaan
Negeri Selangor dan penyaluran air mentah secara sementara dari terowong
Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) ke Sg
Langat.
Bagi penstrukturan semula, urusan pengambilalihan syarikat-syarikat
konsesi di negeri Selangor oleh Kerajaan Negeri Selangor telah dimulakan
sebaik sahaja MoU tersebut ditandatangani. Untuk itu, Kerajaan Negeri
Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah mengemukakan
tawaran pengambilalihan kepada pemegang-pemegang saham empat buah
syarikat konsesi iaitu ABASS, SYABAS, Puncak Niaga Sdn. Bhd. dan SPLASH.
Setakat hari ini, hanya pengambilalihan SPLASH sahaja yang belum dapat
dimuktamadkan.
Perjanjian ini juga menggariskan tindakan-tindakan penting untuk
memuktamadkan pengambilalihan konsesi-konsesi tersebut. Antaranya,
pemindahan aset-aset air Selangor yang tidak berkaitan dengan
syarikat-syarikat konsesi berjumlah RM2 bilion kepada Pengurusan Aset
Air Berhad (PAAB), iaitu anak syarikat milik penuh Kerajaan Persekutuan.
Hasil pemindahan ini akan digunakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan
KDEB untuk membiayai pengambilalihan ekuiti syarikat-syarikat konsesi
tersebut.
Perjanjian ini juga menetapkan kaedah penstrukturan semula industri bekalan air ini yang melibatkan:
a) Penggabungan operator-operator air di bawah satu special purpose
vehicle (SPV) milik penuh Kerajaan Negeri Selangor yang dilesenkan di
bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA);
b) Pelaksanaan asset light model melalui pemindahan liabiliti dan aset-aset air bersangkutan dengannya kepada PAAB; dan
c) Pemajakan aset-aset air oleh PAAB kepada SPV tersebut.
Kerajaan Persekutuan juga akan terus komited untuk memudah cara
penstrukturan semula ini bagi memastikan rundingan diteruskan antara
Kerajaan negeri Selangor dan syarikat konsesi yang belum bersetuju
dengan tawaran KDEB bagi membolehkan hasrat pengurusan air secara
holistik dan asset light di negeri Selangor tercapai.
Perjanjian ini juga memperincikan kaedah dan komitmen kedua-dua Kerajaan
Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan Projek LRAL2
disiapkan pada pertengahan tahun 2017. Dengan siapnya LRAL2 ini, bekalan
air yang lebih terjamin sepanjang masa sudah tentu akan memberi
keselesaan dan kesejahteraan kepada kehidupan harian rakyat.
Dalam hal ini juga, Kerajaaan Negeri Selangor akan mengeluarkan semua
kelulusan, termasuk berkaitan tanah, kebenaran merancang, permit dan
izin lalu bagi jajaran penghantaran bekalan elektrik, yang diperlukan
untuk pelaksanaan Projek LRAL2.
Jawatankuasa Khas Pelaksanaan Projek LRAL2 yang dipengerusikan bersama
oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Dato' Menteri Besar
Selangor juga telah ditubuhkan dan telah pun bersidang. Lanjutan
daripada itu, dua Jawatankuasa Kerja termasuk satu daripadanya yang
dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga telah
ditubuhkan bagi menyelesaikan urusan-urusan berkaitan pelaksanaan Projek
LRAL2 ini.
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor percaya bahawa urusan
penstrukturan semula industri bekalan air Selangor dan pelaksanaan
Projek LRAL2 ini perlu diberikan perhatian penuh supaya dapat menjamin
bekalan air bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara jangka
panjang.
Dengan termeterainya Perjanjian pada hari ini, hala tuju dan
prinsip-prinsip asas yang ditetapkan akan memudahkan gerak kerja bagi
menyelesaikan isu-isu bekalan air negeri Selangor. Kepastian ini juga
akan membolehkan semua projek pembangunan, industri dan komersial yang
telah terjejas berikutan ketidaktentuan bekalan air dapat diteruskan di
Lembah Klang.
Kami berdua juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan yang telah
diberikan oleh semua pihak yang membantu menjayakan penstrukturan
semula industri bekalan air Selangor dan pelaksanaan Projek LRAL2 bagi
menyelesaikan isu bekalan air jangka panjang, terutamanya kepada anggota
Kabinet Persekutuan, barisan Exco Negeri Kerajaan Selangor serta
pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.
Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Tan Sri Khalid Ibrahim
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.