MALAYSIAKINI
Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan dakwaan sebuah portal
berita Israel kononnya Malaysia adalah tempat latihan untuk pejuang
Hamas di Palestin.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata
Malaysia tidak pernah menganjur sebarang latihan ketenteraan untuk
mana-mana pihak selain dari negara-negara yang mempunyai perjanjian
secara formal.
"KDN tidak pernah melatih mana-mana pejuang dari Hamas secara sulit
melainkan ada program latihan di kalangan negara-negara yang mempunyai
perjanjian secara formal dengan kita," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata laporan yang tidak berasas itu mempunyai niat jahat bagi memburukkan imej negara di mata dunia.
Sebuah akhbar dalam talian The Jerusalem Post semalam memetik kononnya
seorang anggota Hamas Cell mengakui Malaysia adalah tempat latihan
menyeludup dan membuat serangan sempadan negara dengan menggunakan
payung terjun.
Laporan itu juga memetik kononnya anggota Hamas terbabit memberitahu
Agensi Keselamatan Israel (Shin Bet) bahawa mereka turut dilatih
mengenai cara menculik anggota tentera dan ia adalah sebahagian
persiapan Hamas untuk menentang serangan darat pasukan Pertahanan Israel
(IDF) di Semenanjung Gaza.
Wan Junaidi berkata berita tidak sahih itu disifatkan sebagai satu
dakyah jahat Shin Bet ekoran Malaysia menyokong perjuangan rakyat
Palestin dan mengutuk kekejaman Israel di Gaza.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.