Isnin, 25 Ogos 2014

Isu PAS, masalah dalaman hantui Kongres PKR




Oleh Zulaikha Zulkifli


Kongres tahunan PKR kali ini dilihat sebagai platform untuk 'menghentam' rakan mereka dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS selain membincangkan tentang isu-isu melanda parti sejak kebelakangan ini.

Walaupun kongres ke-10 tahun itu dilihat sedikit hambar dengan kehadiran yang tidak ramai seperti sebelumnya, ia tidak menjadi halangan bagi sesetengah perwakilan serta pemimpin tertinggi parti itu melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap PAS.

Ia dapat dilihat apabila perwakilan kongres daripada Kelantan dan Terengganu, masing-masing 'mengadu' supaya pemimpin tertinggi PKR masuk campur memulihkan hubungan bersama rakan mereka itu.

Perwakilan Kelantan menyalahkan "parti sahabat" PKR di Kelantan yang didakwanya menyebabkan mereka tewas pilihan raya umum lalu. Manakala perwakilan Terengganu pula bersedih kerana didakwa "dibuli" PAS negeri sehingga tidak mampu memenangi kesemua kerusi ditandingi.

Malah, pemimpin tertinggi PKR turut mengambil kesempatan untuk membidas PAS walaupun parti itu tidak disebut secara langsung. Antara perkara dibangkitkan berhubung isu wanita menjadi pemimpin, yang timbul ekoran kemelut semasa dalam pentadbiran Selangor.

Perkara itu bagaimanapun mendapat teguran Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa ucapan sebelum penangguhan kongres itu di Shah Alam semalam.

Kesan pemecatan Khalid

Anwar meminta anggota parti itu tidak meminggirkan atau memperkecilkan kepentingan PAS dalam Pakatan.

Dalam ucapannya itu, Anwar berkata tidak semestinya beliau sebagai pemimpin tertinggi akan mempertahankan perkara yang diketengah perwakilan sebaliknya beliau perlu mengambil kira semangat Pakatan.

Malah, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali pula memberi keyakinan hubungan PKR dan PAS yang didakwa kurang mesra di negeri Pantai Timur itu boleh diselesaikan dalam kerangka Pakatan.

Dengan krisis Selangor yang masih belum selesai serta pemilihan parti yang berjalan sehingga lapan bulan turut memberi kesan kepada kongres kali ini apabila banyak kerusi-kerusi kosong kelihatan sepanjang tiga hari kongres ini berlangsung.

Pada kongres kali ini, seramai 1,200 orang perwakilan hadir berbanding 1,800 yang berdaftar.

Perkara itu mendapat 'teguran' wakil PKR Pahang yang menggesa PKR Selangor mengerahkan sekurang-kurangnya 200 orang anggota dari setiap cabang untuk hadir ke kongres dan memenuhkan kerusi kosong.

Rasa tidak puas hati daripada ahli berhubung isu pemilihan parti serta pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai ahli PKR dilihat menjadi salah satu punca kebanyakan kerusi dalam Stadium Melawati itu diisi oleh individu luar – yang bukan perwakilan atau pemerhati kongres.

Ujian panjang

Berhubung isu-isu pemilihan juga, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Anwar dan Azmin sendiri meminta penambahbaikkan dilakukan supaya lebih lancar pada masa akan datang.

Malah, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Datuk Johari Abdul, sistem "satu ahli satu undi" yang digunakan sejak 2010 itu merupakan "sistem terbaik dan paling demokratik" namun perlu penambahbaikan supaya lebih praktikal.

Pelbagai isu yang melanda PKR kini - daripada akar umbi ke pimpinan - menyebabkan Anwar terpaksa memberi teguran dalam ucapan selama 40 minit semalam yang menyentuh pelbagai aspek.

Ini termasuk meminta semua ahli bersatu serta memberi amaran kepada ahli yang mengkhianati parti, rakan seperjuangan dan agenda reformasi akan dikenakan tindakan disiplin.

Perkara sama turut dilahirkan oleh Wan Azizah, Naib Presiden Nurul Izzah Anwar dan beberapa pemimpin tertinggi lain semasa ucapan penggulungan mereka.

Bagaimanapun, mesej yang diberikan sepanjang kongres ini berlangsung jelas menunjukkan PKR kini berdepan dengan krisis dalaman parti yang mungkin sekali lagi perlu mengambil masa yang panjang-selepas pemilihan - untuk menyelesaikannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.