Jumaat, 1 Ogos 2014

Atlet terjun M'sia Tze Liang raih pingat emas

MALAYSIAKINI


 



Atlet terjun negara, Ooi Tze Liang memberi keceriaan kepada kontinjen negara apabila berjaya menuai pingat emas keempat Malaysia pada temasya Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow.
  
Dalam acara akhir 3m papan anjal lelaki yang berlangsung di Kolam Renang Royal Commonwealth, penerjun berusia 20  tahun dari Pulau Pinang itu berjaya mengumpul 457.60 mata untuk meraih pingat emas.
  
Ketinggalan 7.90 mata di belakang beliau ialah pemenang pingat emas acara 1m papan anjal, Jack Laugher dari  England dengan 449.70 mata dan pingat gangsa menjadi milik rakan senegaranya Oliver Dingley dengan 425.20 mata.
  
"Saya sangat berpuas hati sebab dapat meraih pingat emas  seperti yang saya sasarkan. Saya akui memang ada tekanan  semasa bersaing di sini tetapi saya anggap pertandingan  akhir ini sama seperti semasa dalam latihan dan saya jadi lebih tenang dan fokus.
  
"Akhirnya saya dapat buktikan kepada rakyat Malaysia,  segala usaha saya selama ini berjaya menghasilkan pingat emas pada Sukan Komanwel," katanya.
    -
Menurut Tze Liang, selepas menamatkan saingan peringkat  saringan di tempat kedua pada sebelah pagi, beliau merasa  yakin untuk beraksi dengan baik dan meraih pingat.
  
"Dari situ, saya fikir secara positif untuk membuat yang terbaik pada peringkat akhir," kata atlet yang diperkenalkan dengan sukan terjun oleh bapanya sejak berusia lapan tahun.
  
Beliau akan bergandingan dengan Ahmad Amsyar Azman dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki esok.
  
"Berdasarkan prestasi kedua-dua kami hari ini, saya yakin kami akan memberikan saingan terbaik," kata Tze Liang, yang memenangi pingat perak Sukan Asia acara 3m papan anjal seirama bersama-sama Bryan Nickson Lomas di Guangzhou empat tahun lepas.
  
Sementara Pandelela Rinong hanya mampu raih pingat perak bagi acara 10m platform individu wanita di temasya Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow, Scotland.

Manakala pemain perseorangan lelaki negara Chong Wei Feng berada pada landasan tepat dalam meneruskan legasi mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel ke-20 di Emirates Arena.
  
Selaku pemain pilihan utama Wei Feng mengambil masa 29 minit mengetepikan pencabarnya Tony Stephenson dari Northen Ireland dengan straight set iaitu 21-15 dan 21-10 pada perlawanan ketiga.
  
Wei Feng dijadualkan bertemu R V Gurusaidutt dari India pada perlawanan berikutnya pada Jumaat.
  
Selain Wei Feng, seorangan lagi pemain perseorangan negara Liew Daren turut layak ke suku akhir selepas menewaskan D. Karunaratna dari Sri Lanka dengan straight set 21-19 dan 21-12 dalam masa 37 minit.
  
Liew dijadualkan bertemu K.Parupalli dari India pada perlawanan suku akhir pada Jumaat.
  
Untuk rekod, pemain perseorangan negara cemerlang dengan pencapaian pingat emas sebanyak enam kali berturut-turut di Sukan Komanwel iaitu menerusi Rashid Sidek pada edisi 1990 dan 1994, Wong Choo Hann (1998), Hafiz Hashim (2002) dan Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2006 dan 2010.
  
Sementara itu, Tee Jing Yi pula mudah mengalahkan pesaingnya N.Murukkuwadura dari Sri Lanka dengan 21-9 dan 21-6 untuk mara ke pusingan suku akhir bagi acara perseorangan wanita.
  
Tee akan menentang P C Thulasi dari India pada perlawanan separuh akhir.- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.