MALAYSIAKINI
Istana Selangor hari ini menghantar surat rasmi kepada parti-parti
Pakatan Rakyat menitahkan mereka menghantar lebih daripada dua nama
calon menteri besar sebelum 3 September depan.
Surat itu dihantar oleh pegawai Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan
tangan kepada Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya kira-kira jam 3.15
petang.
Surat yang dialamatkan kepada Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan
Ismail, dengan salinan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut mahukan calon yang dinamakan
itu beragama Islam dan berketurunan Melayu menurut Perkara L1 (2),
Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.
Kandungan surat yang dilihat Malaysiakini itu tiada merujuk sebarang
nota mengenai jantina calon menteri besar dan ini bermakna Datuk Seri
Wan Azizah Wan Ismail masih tidak ditolak Istana.
Surat itu ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Abdul Munir Bani itu.
Semalam, Sultan menangguh menerima peletakan jawatan Khalid sehingga penggantinya ditentukan.
Munir berkata, Sultan Selangor juga menitahkan agar pemimpin PAS, PKR
dan DAP mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon layak
menggantikan Khalid.
Ia, menurut Munir lagi, bagi memudahkan sultan menentukan dan memberi perkenannya.
Sementara itu, Malaysiakini mendapati kenyataan media dari
Munir bertarikh 14 Mei tahun lalu menyatakan hanya nama Khalid yang
dicadangkan oleh Pakatan Rakyat.
Kenyataan itu merupakan kenyataan Istana mengiktiraf pelantikan semula Khalid selepas pilihan raya umum lalu.
"Ketua-ketua komponen Pakatan Rakyat iaitu PKR, PAS dan DAP telah
mengemukakan hanya satu nama iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai
calon menteri besar Selangor," petik kenyataan itu.
Surat dari Istana bertarikh 7 Mei sebelum itu turut menjelaskan Sultan
meminta empat nama daripada Pakatan Rakyat sebagai calon menteri besar.
Sementara itu Pengerusi DAP Selangor Tony Pua mendakwa Khalid 'mengarut'
dan mengesahkan bahawa parti-parti Pakatan Rakyat hanya mengemukakan
nama Khalid untuk jawatan menteri besar kepada istana selepas pilihan
raya umum 2008 dan 2013.
Dalam SMS kepada Malaysiakini, Pua berkata tidak pernah ada lebih
daripada satu nama yang dihantar kepada istana untuk jawatan MB.
Petang tadi, Khalid menolak hujah PKR dan DAP bahawa ia akan
mengemukakan satu nama sahaja, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail, kepada istana untuk menjadi menteri besar yang baru,
berdasarkan kepada konvensyen yang lalu.
Sebaliknya, Khalid mendakwa parti-parti Pakatan mengemukakan lebih
daripada satu nama, termasuk namanya, kepada istana selepas dua pilihan
raya umum sebelum ini.
Kemudian, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Wan
Azizah menafikannya, dengan mendakwa bahawa hanya nama Khalid yang
dikemukakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.