Selasa, 29 Julai 2014

Warga emas hidup 7 tahun tanpa bekalan air, SAJ digesa bertindak

johor
Roketkini.com


KLUANG: Walaupun selepas tujuh tahun membuat permohonan, masih ada penduduk di daerah ini yang masih belum mendapat kemudahan asas seperti bekalan air.

Menurut Pusat Komuniti Pakatan Rakyat Kluang (PKPRK), salah seorang penduduk di Kampung Bentong yang dikenali sebagai Mak Wok, berusia kira-kira 70 tahun dan adiknya Mak Semah hanya bergantung kepada air perigi dan air hujan.

Tambah memeritkan, kesukaran lebih dirasai oleh kedua warga emas ini sepanjang bulan Ramadhan lalu, dan lebih-lebih lagi dalam persediaan menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri.

“Mereka hanya dibantu anak tunggal Mak Semah, Safuan yang tinggal tidak jauh dari sini. Namun Safuan juga ada keluarga yang perlu ditanggung,” kenyataan PKPRK dipetik.

PKPRK dalam kenyataannya turut memaklumkan, Mak Wok telah memohon saluran bekalan air kepada Syarikat Air Johor (SAJ) sejak tujuh tahun lalu, namun tanpa sebarang jawapan.

Justeru itu satu lawatan dianjurkan oleh PKPRK diiringi Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol untuk menziarahi Mak Wok dan warga emas lain 18  Julai lalu.

Menurut PKPRK keadaan rumah mereka yang terlalu usang dan terbuka menyebabkan mereka terdedah dengan ancaman binatang liar dan berbisa.

“Sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan,” jelas PKPRK sambil memberikan komitmen akan membangkitkan masalah itu kepada SAJ agar masalah tersebut diselesaikan dalam kadar segera.

Sementara itu, Chin Tong dalam kenyataan berasingan memaklumkan PKPRK kini menjalankan tinjauan berhubung kualiti perkhdimatan kemudahan di Hentian Bas Kluang berikutan banyak aduan yang diterima dari penduduk di daerah ini.

Menurut Ching Tong, aduan orang ramai memaklumkan bahawa keadaan Hentian Bas Kluang tidak memuaskan terutamanya lantai yang sering basah dan paip bocor, ketidakselesan dan kekurangan tempat menunggu bas selain lokasi kaunter tiket bas yang tidak praktikal.

“Bukankah penduduk Kluang mengharapkan kemudahan hentian bas yang lebih mesra rakyat?” kata Chin Tong mencadangkan kepada pihak berkuasa agar menjadikan Hentian Bas Kluang lebih bersih, ceria dan mesra rakyat.

Katanya, orang ramai turut digalakkan selain berkongsi maklumat berhubung masalah dan cadangan pembaikan melalui laman Facebook dan Twitter dengan menggunakan hashtag #basklg.

Chin Tong turut mengalu-alukan penduduk di daerah ini, terutamanya pengguna Hentian Bas Kluang agar memberi maklum balas dan cadangan melalui laman Facebook Ahli Parlimen Kluang serta ADUN Mengkibol Tan Hong Pin. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.