SHAH ALAM: Rakyat Malaysia memang tidak boleh dipisahkan dengan sifat prihatin dan peri kemanusiaan yang tinggi.
Lihat
saja di mana ada peminta sedekah, apatah lagi yang mengendong anak
kecil sambil menadah tangan, pasti hati kecil cepat merasa simpati
lantas terus menghulur wang buat meringankan beban golongan itu.
Justeru, langkah kerajaan yang mahu mengetatkan undang-undang berkaitan
gelandangan dan pemberi sedekah, mengundang rasa kurang senang
segelintir masyarakat di negara ini.
Pada pendapat mereka, kerajaan secara tidak langsung menghalang
golongan penderma untuk melakukan kebaikan, selain menganggap
undang-undang baru itu sebagai 'kejam' dan tidak sesuai.
Seorang peniaga, Mariam Kortubi langsung tidak bersetuju dengan
cadangan tersebut. Katanya, golongan peminta sedekah atau gelandangan
ini sangat memerlukan sokongan moral daripada masyarakat sekeliling.
"Kita tak tahu latar belakang mereka macam mana, kisah mereka macam
mana. Memang tak setuju kalau pemberi sedekah disaman," katanya.
Shahmi Sazali, seorang pekerja swasta pula mencadangkan golongan
gelandangan ini diletakkan di satu pusat jagaan khas yang dilengkapi
dengan kursus kemahiran tertentu.
Ini katanya secara tidak langsung golongan gelandangan mampu melakukan sesuatu yang berfaedah.
"Sepatutnya kalau mereka benar-benar susah, kita kena tolong. Kalau
mereka ada kemampuan atau kemahiran, ambil mereka dan letak di satu
tempat di mana kemahiran mereka boleh diguna untuk menghasilkan sesuatu
yang bagus," ujarnya.
Manakala seorang suri rumah, Azihan Sufian Arifin pula amat bersetuju
dengan langkah kerajaan membina satu penempatan khas bagi golongan ini.
Selain memulihkan imej kota raya, ia memudahkan mana-mana pemberi
sedekah atau pemberi makanan untuk datang dan menghulurkan bantuan di
satu tempat saja.
"Bagi saya, sediakan satu tempat yang betul-betul menjadi pusat untuk
memberi makan kepada mereka. Jadi mana-mana yang nak menolong atau
memberi derma boleh ke pusat itu sahaja," ujar wanita berusia 33 tahun
ini.
Namun tidak kurang juga, ada yang melihat langkah kerajaan yang mahu
mengetatkan undang-undang dan mendenda pemberi sedekah atau makanan,
sebagai tindakan yang wajar bagi mengelakkan lebih ramai peminta sedekah
berkeliaran di kota raya.
"kalau kita asyik memberi kepada mereka, mereka ada yang mengambil
kesempatan untuk malas bekerja. Saya tengok ada antara mereka yang sihat
pun ambil makanan sedangkan tenaga kuat lagi. Saya galakkan usaha
kerajaan itu," ujarnya.
Selain Hasnah, seorang peniaga yang dikenali sebagai Fariz Bashar juga
melahirkan pendapat yang sama. Malah katanya, ada di antara golongan
gelandangan atau peminta sedekah hanya berpura-pura bagi mendapatkan
simpati.
Saran Fariz, masyarakat perlu tahu membezakan peminta sedekah yang
benar-benar memerlukan dengan yang palsu sebelum menghulurkan wang
sedekah.
"Kebanyakan mereka yang minta sedekah ini tipu. Sebab kami ini peniaga
kami sedar tapi kami buat tak tahu saja. Kita kena memilih, kena tahu
mana yang memerlukan dan mana yang tidak memerlukan.
"Malaysia saja yang bermurah hati. Kita paling kurang akan beri RM1... jumlah itu besar sebenarnya," ujar Fariz.
Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor menjelaskan langkah itu diambil bagi membersihkan kawasan
bandaraya daripada peminta sedekah terutamanya di pusat beli-belah Lot
10 dan Pavilion.
Kata Tengku Adnan, kementeriannya juga akan memperketat undang-undang
bagi mengatasi masalah ini, seterusnya merangka prosedur operasi
standard (SOP) bagi tujuan itu.
Dalam pada itu, kementerian berkenaan turut membenarkan pemberi makanan
meneruskan pemberian makanan di kawasan ibukota selepas Aidilfitri,
iaitu sehingga tarikh penguatkuasaan baru pada 16 Ogos 2014 dan satu
jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk memperincikan proses pengedaran
makanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.