PUTRAJAYA - Malaysia akan berbincang dengan Belanda bagi mempercepatkan proses mengecam dan bedah siasat mayat mangsa nahas MH17.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, beliau akan mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Belanda pada Rabu ini.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan jenazah rakyat Malaysia dapat dibawa pulang secepat mungkin.
"Malaysia bersedia menawarkan pegawai forensik dan bantuan lain bagi tujuan itu.
"Kita juga akan memantau proses yang sedang dijalankan untuk memastikan segala pemeriksaan dan penghantaran mayat selesai secara cepat dan dapat dibawa ke negara ini seberapa segera," katanya yang ditemui semasa mengadakan lawatan di Hospital Putrajaya sempena Aidilfitri di sini, hari ini.
Pada masa sama, Dr Subramaniam berkata, proses bedah siasat mengambil masa agar semua bukti dapat dikumpul bagi membawa pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi itu ke muka pengadilan.
"Oleh itu segala proses mesti menerusi kaedah yang betul tanpa jalan singkat," katanya.
Dalam kejadian 17 Julai lalu, pesawat Malaysia Airlines, Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Donetsk, timur Ukraine dipercayai akibat ditembak.
Nahas itu mengorbankan kesemua 283 penumpang dari pelbagai negara dan 15 anak kapal. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.