BESUT - Seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 di Hulu Besut
ditemui mati di dalam bilik tidur selepas berlaku perselisihan faham
antara mangsa dan ibunya pada kira-kira 7 petang semalam.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan memarahi anak saudaranya yang berumur
8 tahun kerana membuang sampah di depan pintu bilik beliau sebelum
ditegur ibunya pada kira-kira 6.30 petang.
Ketika mengesahkan kejadian, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi
Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa bertindak mengurung
diri dalam bilik sebagai memprotes tindakan ibunya yang dikatakan
menyebelahi kanak-kanak terbabit.
Kira-Kira setengah jam sebelum berbuka puasa, ibu mangsa menyuruh
cucunya memanggil pelajar itu untuk membantu beliau menghidangkan
makanan.
"Setelah memasuki bilik ibu saudaranya itu, anak saudara mangsa berlari
keluar dari bilik dan memberitahu neneknya yang ibu saudaranya dilihat
tidur sambil berdiri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noorzainy berkata, selepas mendengar kata-kata kanak-kanak itu, ibu
mangsa bergegas ke bilik anaknya dan mendapati pelajar terbabit dalam
keadaan tergantung sambil berlutut dengan seutas tali terjerut di leher.
Beliau berkata, ibu mangsa kemudian membuka tali yang menjerut leher
anaknya sambil memaklumkan perkara itu kepada anggota keluarga lain yang
menghubungi polis.
Katanya, siasatan awal mendapati tiada unsur khianat berhubung kematian
pelajar itu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk bedah
siasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.