Selasa, 29 Julai 2014

Lafaz Maaf 'Kosong-Kosong' Kurang Ikhlas?

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: "Maafkan saya...kosong-kosong ya". Itulah ungkapan yang sering kita dengar dewasa ini setiap kali Syawal menjelma.

Walaupun ungkapan yang dianggap mengikut peredaran masa itu tidak menjadi satu kesalahan untuk diucapkan, namun ia dianggap sebagai satu 'amalan' yang longgar jika mengikut syariat Islam sebenar.

Mufti Kelantan Datuk Muhammad Shukri berkata adalah lebih afdal jika umat Islam bersalaman pada hari raya sambil melafazkan ucapan 'maafkan saya zahir dan batin' berbanding hanya' kosong-kosong' kerana tidak melambangkan keikhlasan dalam memohon kemaafan.

"Dalam Islam kita panggil musafaha iaitu berjabat tangan sambil kita lafazkan kata meminta maaf dan memohon agar semua kesilapan serta kesalahan kita pada individu tertentu dimaafkan.

"Perkataan maaf itu sebaiknya dilafazkan sebagai tanda kita minta lupakan peristiwa lampau, jangan ada parut sekalipun dan buka lembaran baharu," katanya kepadaBernama.

Muhammad menarik perhatian apabila berkata memohon dan memberi kemaafan bukan hanya ketika Hari Raya, sebaliknya amalan mulia itu wajar dilakukan pada setiap masa.

Nabi Muhammad SAW sendiri meminta ampun daripada Allah SWT sebanyak 70 kali setiap hari, kata Mufti Kelantan itu.

Sementara itu, pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam apabila berkata ungkapan 'kosong-kosong' itu ibarat merosakkan nilai serta budaya masyarakat Melayu yang cantik dan indah.

"Tamadun yang dibina patut lebih baik dan bukan dirosakkan. Bukankah indah dan cantik ungkapan maaf zahir dan batin.

"Orang Inggeris misalnya cakap 'sorry' atau 'please forgive me', tapi kenapa kita nak ucap kosong-kosong yang hanya sementara dan berubah-ubah," kata Ramlah yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Ramlah berkata menghulurkan tangan dan melafazkan kata memohon maaf merupakan satu akad yang betul berbanding dengan hanya mengucapkan 'kosong-kosong' yang menurutnya langsung tidak menunjukkan keikhlasan memohon kemaafan.

"Itu mungkin sekadar budaya baharu, tapi ia tak gambarkan tentang minta maaf.

"Kita mungkin salah pada individu tertentu, tapi tak semestinya orang itu bersalah pada kita. Jadi macam mana kita boleh kata 'kosong-kosong'," jelas Ramlah.

Bagaimanapun, pandangan berbeza dinyatakan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara Prof Dr Kamaruddin M.Said apabila berkata ungkapan 'kosong-kosong' merupakan satu budaya baharu yang tidak dapat ditolak bagi menghidupkan lagi suasana sambutan Hari Raya.

"Tidak ada masalah dengan ucapan itu, sebab masyarakat sekarang dah faham ia merujuk kepada permohonan maaf.

"Implikasinya tetap sama walaupun tanpa ucapan maaf zahir dan batin, tidak mengucapkan ungkapan itu bukanlah satu kesalahan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.