MALAYSIAKINI
Bekas model majalah dewasa Playboy, Felixia Yeap berkata beliau kini
berasa lebih tenang apabila bertemu “jalan pulang” selepas memeluk Islam
secara rasmi.
Yeap, 28, dalam tulisan di blognya felixiayeap.blogspot.com berkata,
beliau mengucap syahadah di hadapan empat orang saksi dalam satu majlis
tertutup hari ini.
Beliau bersyukur kerana hasratnya untuk memeluk Islam selepas pencarian selama bertahun-tahun itu direstui oleh ibunya.
Walau ada yang menyokong, tidak kurang juga yang sangsi dan memberi reaksi negatif ke atas tindakannya itu, katanya lagi.
"Saya telah mengharungi pelbagai dugaan, bantahan, makian, sindiran, fitnah, penyisihan, tekanan.
"Tetapi syukur Alhamdulillah...saya juga dapat sokongan yang begitu
hebat. Saya harus berterima kasih dengan kedegilan saya," tulisnya.
Tak bimbang disisihkan
Yeap berkata, beliau tidak bimbang untuk mengumumkan keputusannya
memeluk Islam - tidak seperti individu lain yang terpaksa
menyembunyikannya dari pengetahuan keluarga.
"Saya mengaku, jika ayah saya tidak meninggalkan kami sekeluarga,
mungkin perkara yang sama akan berlaku pada diri saya. Tetapi Allah Maha
Mengetahui," tulisnya.
Yeap, yang meraih populariti melalui kemunculan di majalah Playboy pada
tahun 2010 berkata beliau mula tertarik dengan Islam selepas memperaga
pakaian muslimah untuk satu sesi fotografi.
Sejak enam bulan lalu, beliau tampil dengan imej bertudung – satu perubahan yang menarik perhatian ramai.
Wanita kelahiran Ipoh itu mendedahkan, beliau sejak itu juga sudah mendalami ilmu agama Islam.
Mengulas lanjut, Yeap berkata beliau kini lebih selesa dengan nama
“Rania” dan merancang untuk membuka perniagaan menjual pakaian untuk
golongan muslimah sepertinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.