Iskandar
SHAH ALAM - Pas Selangor menzahirkan rasa lega dan bersyukur dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang yang mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan sudah menjelaskan beberapa kekeliruan.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sudah tersalah tafsir dengan kenyataan dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 23 Julai lalu.
“Ayat tersebut telah disalahtafsirkan sebagai PR telah meluluskan cadangan PKR untuk menggantikan Abdul Khalid dengan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
“Walhal seperti yang disebut oleh kenyataan itu hanya bermaksud menerima cadangan dan akan membawa perkara itu ke dalam mesyuarat peringkat tertinggi parti masing-masing dan akan membuat keputusan dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kelmarin, Abdul Hadi mempertahankan Abdul Khalid supaya kekal sebagai Menteri Besar Selangor berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.
Beliau berkata, kecemerlangan perkhidmatan Abdul Khalid dalam menerajui Selangor hingga ke tahap yang lebih baik termasuk mempertahankan Selangor pada pilihan raya umum ke-13 tidak boleh dinafikan meskipun terdapat kecelaruan yang ditimbulkan dalam Pakatan Rakyat.
Katanya, alasan pihak yang mahu menukar menteri besar itu adalah tidak kukuh dan beliau secara peribadi tidak setuju kerana melihat Abdul Khalid tidak terlibat masalah besar.
Baru-baru ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat pada Rabu lepas menerima cadangan PKR untuk menggantikan Abdul Khalid dan mencalonkan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengisi jawatan itu.
“Menerima itu bukan bermaksud Pas sudah bersetuju, malah tidak membuat sebarang keputusan pun lagi,” tegas Iskandar.
Menurutnya, kenyataan presiden itu juga telah menjawab semua persoalan-persoalan tersebut dan pihaknya mengucapkan terima kasih kerana Abdul Hadi mengambil kira pandangan pimpinan dan ahli Pas Selangor.
Bagaimanapun katanya, pimpinan Pas Selangor akan sentiasa mematuhi apa saja keputusan presiden dan pimpinan tertinggi Pas bagi membabitkan isu Menteri Besar Selangor itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.