Jumaat, 25 Julai 2014

Dividen hak semua, Felda jangan hukum peneroka

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengecam tindakan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menafikan pembayaran dividen serta duit raya kepada peneroka yang terlibat menyaman agensi itu.

Pengerusinya Maria Chin Abdullah berkata, Felda tidak boleh menggunakan pemberian dividen itu sebagai sejata untuk menekan peneroka.

"Dividen adalah hak semua pemegang saham yang termasuk peneroka manakala bantuan duit raya diberi atas semangat perayaan agama," katanya dalam satu kenyataan.




Semalam seramai 20 orang peneroka Felda dari Gugusan Bera dan Rompin membuat laporan Polis di IPD Kuantan ekoran dinafikan wang dividen FGV dan saguhati hari raya yang berjumlah hampir seribu ringgit.

Mereka adalah sebahagian daripada lebih seribu orang peneroka seluruh negara yang tidak dibayar sebagaimana sepatutnya, meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataannya pada 6 Julai 2014 lalu menyebut dengan jelas bahawa seramai 112,635 orang peneroka layak menerimanya.

Mengulas lanjut Maria berkata, sabiknya Felda mengadakan perbincangan dengan peneroka yang tidak berpuas hati dengan mereka dan bukannya menyekat dividen dan bantuan duit raya seperti yang dilakukan sekarang ini.

"Felda kelihatan cenderung untuk menghukum peneroka ini dan menjadikan mereka contoh kepada yang lain bahawa perkara sama boleh menimpa kepada mereka yang mencabar Felda," katanya lagi. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.