MALAYSIAKINI
Gabungan NGO BERSIH berpendirian bahawa Tan Sri Abdul Aziz Yusof tidak
layak mengetuai Suruhanjaya Pilihan Raya kerana menyifatkan prinsip
'satu orang, satu undi, satu nilai' sebagai langkah tidak praktikal
untuk menjalankan persempadanan semula.
Walhal, prinsip berkenaan adalah asas kepada pilihan raya dan perwakilan
pemilih dalam sesebuah sistem demokrasi, kata BERSIH dalam
kenyataannya.
“Tanpa 'satu orang, satu undi, satu nilai', pilihan raya tidak akan
bermakna, terutama bagi pemilih yang undinya lebih tidak bernilai.
“Dalam pilihan raya umum ke-13, ia membentuk 53 peratus daripada jumlah yang mengundi,” kenyataan BERSIH dipetik.
Ia turut menegaskan bahawa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan
tidak harus dijadikan alasan untuk merendahkan prinsip 'satu orang, satu
undi, satu nilai'.
Kenyataan BERSIH itu merujuk kepada Seksyen 2(c), Bahagian 1, Jadual 13 dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, ia tidak bermaksud bahawa SPR boleh mengutamakan
kesenangan dalam pentadbiran dan perwakilan mengikut kaum mengatasi
prinsip tersebut, menurut BERSIH lagi.
Gabungan NGO itu turut menegaskan bahawa prinsip berkenaan merupakan
salah satu daripada tujuh perkara utama yang dikenalpasti oleh panel
Tribunal Rakyat ke atas Pilihan Raya Umum ke-13.
Ia bagi menjawab kenyataan Abdul Aziz seperti disiarkan dalam satu
laporan akhbar Berita Harian semalam yang memberi gambaran bahawa
pelaksanaan 'satu orang, satu undi, satu nilai' memerlukan kawasan yang
dengan jumlah pengundi yang sama.
Dalam wawancara disiarkan akhbar tersebut, Abdul Aziz berkata SPR
lazimnya menetapkan sempadan pilihan raya mengikut kawasan bandar,
separa bandar dan luar bandar.
“Di bandar sudah tentu penduduknya ramai manakala kawasan separa bandar jumlah penduduk tidak berapa ramai.
“Kalau di luar bandar, memang bilangannya jauh lebih kecil berbanding di
dua kawasan tadi, maka kita tidak boleh samakan kawasan Parlimen atau
DUN di bandar dengan separa bandar dan luar bandar,” katanya dalam
laporan itu.
Tambahnya, perkara itu tidak adil bagi wakil rakyat kerana kemudahan di
kawasan bandar lebih baik berbanding di kawasan luar bandar.
“Ada kawasan Parlimen yang pekannya hanya mempunyai lima kedai sederet, rumah penduduk jauh-jauh dan sukar dihubungi.
“Maknanya, janganlah hendak memperjuangkan sesuatu kerana hendak populis, perlu praktikal,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.