Sabtu, 5 Julai 2014

Awie berdepan tuduhan cedera isteri

MALAYSIAKINI



 


Penyanyi Rock, Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya.

Awie, yang nama sebenarnya Azhar Othman, didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 Jun di sebuah rumah di Jalan UP 5B, Ukay Bestari, Taman Ukay Perdana, Ampang.

Isterinya, Rozana Misbun yang juga adik kepada pelakon Haliza Misbun, mempunyai tiga orang anak dengan Awie.

Awie didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan ikat jamin RM9,000 dan menetapkan 11 Ogos untuk sebutan seterusnya. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
  
Peguam Hazman Harun, yang mewakili Awie memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh memberi kerjasama semasa proses siasatan dan hadir setiap kali dipanggil pihak polis untuk disiasat.
  
"Tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh dan tidak ada sebarang kemungkinan untuk anak guam saya melarikan diri kerana dia merupakan 'public figure' yang menjadi tumpuan orang ramai," katanya.
  
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan dua orang penjamin dan menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula kes.     Dia membayar wang jaminan itu.
  
Ketika ditemui pemberita sejurus selesai prosiding, Awie berkata beliau tidak menyangka kejadian yang berlaku akan berakhir seperti itu.
  
Namun, penyanyi yang pernah popular dengan lagu 'Sejati' itu tidak dapat mengulas lanjut kejadian yang berlaku kerana tidak mahu mengganggu prosiding kes mahkamah.
  
Ditanya mengenai implikasi kejadian yang berlaku terhadap karier seninya, Awie berkata: "Kalau ada rezeki saya ada la, saya hanya berserah kepada Allah".
  
Turut hadir pada prosiding hari ini ialah beberapa orang rakan tertuduh termasuk dua anggota kumpulan Wings iaitu Joe dan Eddie.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.