Oleh Timmy Say
Strategi umum dulu baru cari jalan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu jalan buntu lagi kali ini. Selepas episod September 16, kali ini ialah Langkah Kajang. Di dalam PKR, sebenarnya taktik yang sama juga digunakan, tetapi ia tidak gagal.
Ini kerana PKR di bawah kawalan penuh Anwar yang berpangkat Ketua Umum.
PRK Kajang
Umpamanya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang terpaksa diadakan apabila bekas Adun Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai Adun secara mengejut.
Hendak tak nak, Speaker Selangor Hannah Yeoh menerima peletakan jawatan Lee dan pilihan raya kecil terpaksa diadakan selepas SPR dimaklumkan.
Hanya segelintir sahaja dalam PKR tahu mengenai PRK Kajang yang menjadi loncatan kepada Langkah Kajang. Yang lain terpinga-pinga mencari jawapan, kononnya ini operasi rahsia tertinggi parti.
Tiada apa yang boleh dibuat kerana Lee sudahpun meletakkan jawatan. Sudi tidak sudi, PAS dan DAP kena telan bahawa PRK Kajang harus berlaku meskipun rakyat Selangor tidak bersetuju dengan langkah tersebut.
Rakan-rakan Pakatan Rakyat dipaksa ‘endorse’ Langkah Kajang dan memberikan sokongan sepenuhnya, termasuklah jentera pilihan raya.
Oleh kerana kerusi itu milik PKR, maka PAS dan DAP menyokong siapa yang dicalonkan PKR.
Itu semangat ukhuwah daripada PAS dan DAP. Tetapi jika diberi pilihan samada Lee perlu letak jawatan mahupun tidak, sudah tentu ada yang menyokong Lee untuk kekal sebagai Adun.
Tapi PKR tidak mahu melalui proses itu, oleh itu mereka mendapatkan Lee untuk meletakkan jawatan terlebih dahulu.
Biarlah seribu yang membantah, PRK Kajang tetap berjalan kerana surat peletakan jawatan Lee sudah ada di tangan. Itu hebatnya taktik politik PKR di sini.
Jawatan menteri besar Selangor
Dalam percubaan menukar menteri besar Selangor, taktik yang sama cuba digunakan oleh Anwar.
Umumkan dahulu, lepas itu baru cari endorsement untuk gantikan Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail – tidak kisahlah pandangan rakyat, pandangan rakan di dalam Pakatan Rakyat mahupun pandangan istana macam mana.
Kerusi MB ini milik PKR, itulah tanggapan mereka. Oleh itu, mereka berhak melakukan apa sahaja dan yang lain kena angguk dan jangan banyak soal.
Soal kebolehan Wan Azizah langsung tidak dibicara. Apakah benda baru yang boleh dibawa tidak diketahui. Dijanji ekonomi negeri boleh bertambah kukuh dengan pertukaran tersebut, tetapi tidak dimaklumkan bagaimana.
Jika Khalid dapat menyimpan lebih RM3 billion dalam 6 tahun, apakah Wan Azizah dapat meningkatkan simpanan itu dengan lebih cepat? Ini juga satu persoalan yang tidak dijawab.
Yang penting, tukar dulu. Yang lain fikir kemudian. Kemungkinan Wan Azizah akan jadi lebih hebat daripada Khalid kerana lepas ini wujud pula jawatan de facto Selangor MB ataupun Ketua Umum Selangor yang mengatasi kuasa menteri besar sendiri.
Ini cuma barangkali, tapi yang pasti tanggapan ini ada di setiap minda rakyat Selangor yang biasa.
Kekurangan satu surat
Sehingga kini, strategi politik Langkah Kajang Anwar belum berjaya.
Ini kerana Anwar kekurangan sepucuk surat.
Iaitu surat peletakan jawatan Tan Sri Khalid.
Tanpa surat itu, kerusi MB tidak kosong. Oleh itu, segala perbincangan seterusnya hanya membazir masa termasuklah usaha-usaha mendesak rakan parti untuk menerima cadangan PKR.
Tanpa surat tersebut, apa-apa pendirian rakan Pakatan Rakyat sebenarnya tidak bermakna dan tiada impak kerana kerusi MB masih ada tuannya yang sah. Jadi, usah salahkan rakan parti kerana Langkah Kajang masih menemui jalan buntu.
Seperti Lee Chin Cheh, Khalid adalah orang PKR. Hanya PKR boleh mendapat surat peletakan jawatan daripada mereka berdua tanpa melalui rakan-rakan lain di Pakatan Rakyat.
Kalau PKR dapat surat tersebut, bukan sahaja PAS dan DAP perlu akur, istana Selangor pun kena terima. Dan ‘terima’ di sini bermaksud bersetuju MB ditukar kerana MB lama dah tidak mahu bekerja – dan bukan ‘terima’ dalam erti kata disampaikan khabar.
Masa itu, tiada siapa lagi yang akan berbicara untuk Khalid kekal sebagai MB kerana Khalid sudah letak jawatan. Yang dibincangkan hanyalah siapa yang harus menggantikan Khalid.
Ketika itu, perbincangan antara tiga parti barulah bermakna kerana kerusi MB sudah kosong.
Ada satu lagi surat
Pada minda rakyat biasa, tertanya-tanya bukankah burung satu di tangan (bekerjasama dengan Khalid sebagai penasihat ekonomi Selangor untuk menguatkan PKR) lebih baik daripada hilang segalanya.
Mungkin. Tapi mungkin juga ada benda yang lagi besar akan hilang daripada gengaman Anwar dan PKR sekiranya Khalid terus menjadi MB.
Malangnya, bab ini hanya Anwar dan PKR sahaja yang tahu.
Langkah Kajang, setahu penulis, masih hidup meskipun Anwar akan gagal mendapat surat peletakan jawatan Tan Sri Khalid.
Ini kerana Anwar masih ada pilihan untuk keluarkan surat sendiri untuk menyahkan Khalid dari PKR.
Jika Khalid bukan lagi ahli PKR, penulis tidak pasti samada kerusi MB itu masih akan kekal berada di tangan PKR. Meskipun risiko ini terlalu tinggi kerana susah untuk mengagak apa yang bakal berlaku seterusnya, tetapi langkah ini penulis percaya kini menjadi pertimbangan serius para pemikir Anwar.
Ini sekadar spekulasi penulis. Fokus Raya dulu. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.