Sabtu, 28 Jun 2014

Siapa Pak Samad di mata anda?



Oleh Arafat Hambali 


Ada yang berpendapat dan menyatakan yang beliau lahir di Melaka dan ada pula yang menyatakan beliau lahir di Singapura. Begitu juga dengan bilangan umurnya. Ada yang menyatakan lewat 70an dan tidak kurang pula yang beranggapan beliau sudah melangkaui 80an bahkan ada yang menyatakan sudah beransur ke 90an.

Apa pun tanggapan orang, saya tidaklah mahu untuk mendedahkan di mana sebenarnya beliau dilahirkan dan berapa bilangan umurnya. Biarlah teka teki ini berlegar sambil anda menggunakan keupayaan minda untuk menafsir dan mencerna maklumat.

Bermula degan novel Salina, yang merakamkan suasana kehidupan yang resah sebagai anak yang tumbuh membesar dalam keadaan siasah yang goyah, keamanan negara yang terumbang ambing, serta pendudukan penjajah yang datang menjarah. Salina digarap dengan penuh rasa kemanusiaan, kecintaan dan memartabatkan nilai kasih sayang.

Kemunculan watak-watak seperti Zulfakar, Hilmy, Nahidahah dan Salina sendiri, juga kandang kambing yang dibuat rumah sewa serta latar tempat yang berpusat di Singapura, memberikan kita suatu rasa bagaimana sang penulis begitu tabah menjalani kehidupan awalnya.

Sebagai seorang yang sangat terkesan dengan arus siasah tanah air, generasi yang ada pada hari ini, amatlah tidak wajar menyalahkan beliau seratus peratus atas penglibatannya yang membelakangi kerajaan. Kerana di usianya yang hampir satu abad, telah banyak hal yang beliau saksikan, ikuti dan lakukan.

Beliau merakam sejarah negara dan bangsa. Tidak hairanlah jika rentetan demonstrasi demi demonstrasi diikutinya sehinggalah kemuncaknya bila beliau enggan lagi menggunakan gelaran Sasterawan Negara, Pak Samad mengumumkan perkara tersebut 19 Januari 2008 pada pukul 5.35 petang di Acara Baca Puisi, RA Fine Arts Gallery.

Dan selepas itu beliau semakin gigih dan aktif menyedarkan kita warga Malaysia dengan siri ceramahnya di pentas parti politik pembangkang.

Bertitik tolak dari situ, ada dua hal yang saya perhatikan, bagaimana seorang tua yang di usia ranum sering kelihatan berada di pentas politik dan di heret ke sini ke sana sebagai satu kerelaannya atau peluang sang politikus mempergunakannya bagi menarik penglibatan orang ramai.

Tetapi yang amat saya terkilan, tidak pula ramai orang yang terkesan dengan karya-karya beliau.

Dari satu sisi (politikus dan elitis), mereka seakan mengharapkan pemberian karya percuma di atas tiket “status”. Walhal merekalah yang sepatutnya memainkan peranan menyokong Pak Samad dengan membeli dan menyumbang hasil karya Pak Samad untuk sama-sama dinikmati oleh masyarakat.

Saya pernah menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri bagaimana kurang lebih 10 orang politikus elit dari parti pembangkang (saya terpaksa rahsiakan nama mereka) tidak mempedulikan naskhah Salina yang dijual dan dilancarkan secara tidak rasmi ketika berlangsungnya sebuah acara di Stadium Kelana Jaya beberapa tahun lalu.

Jadi, bagaimana kalau yang diperingkat atasan sendiri pun kurang merangsang, kepada yang di bawah pula mestilah menyongsang.

Bagi saya mereka hanyalah bermuka-muka semata. Kononnya berdiri teguh di belakang, hadapan kiri kanan menyokong, tetapi menyokong yang bagaimana? Sekiranya Pak Samad didakwa atau ditahan oleh pihak berkuasa, hanya berapa kerat sahaja yang datang memberi sokongan sebagai tanda solidariti.

Bila Pak Samad menghasilkan karya, ramai yang sekadar menekan butang “Like” di laman Facebook dan meninggalkan komen "indah dan puitis" tetapi tidak mendatangkan apa apa tindakan susulan.

Benar kata penulis, Roslan Jomel, "jual buku sastera bukan hal yang senang di Malaysia. Orang lebih suka tekan LIKE. Belinya belum tentu".

Saya merasakan mereka ini tertarik kepada karekternya sahaja berbanding karyanya sebagai bukti, pantang melihat kewujudan sosok itu, "bapak, boleh ambil gambar?"

Persoalan yang perlu kita tanya, siapa Pak Samad di mata anda? Adakah sebagai karekter yang memusatkan keseluruhan hidupnya untuk memerdekakan negara, bangsa dan agamanya atau sebagai karekter lelaki "usang" di penghujung usia? Nah... jawablah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.