Perkasa kesal dengan cara pihak berwajib tangani isu pengesanan DNA babi dalam produk coklat.
PETALING JAYA: Kumpulan pendesak hak Melayu, Perkasa, mengkritik cara pihak berwajib menangani isu penemuan DNA babi dalam produk coklat Cadbury baru-baru ini.
Presidennya Datuk Ibrahim Ali mempersoalkan siapa yang memulakan insiden ini yang menimbulkan keraguan di hati pengguna terhadap produk coklat terkenal tersebut.
“Isu mengenai kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang kata tak ada DNA babi dalam produk coklat Cadbury. Sebelum ini siapa punya angkara. Kementerian Kesihatan atau Jakim yang mengatakan Cadbury ada DNA babi?” soal Ibrahim melalui kenyataannya.
Menurut Ibrahim, kekeliruan yang timbul melalui isu ini menunjukkan kelemahan prosedur operasi standard (SOP) di antara Jakim dan Kementerian Kesihatan.
“Ianya amat memalukan. Bukti tidak teliti degan halusi. Tidak ada SOP yang profesional antara Jakim dan Kementerian Kesihatan.
“Kesilapan ini tidak boleh dimaafkan. Ianya melibatkan kerugian perniagaan yang tidak sedikit dan menjejaskan reputasi Cadbury. Siapa yang silap dan kecuaian mesti diambil tindakan,” tegasnya lagi.
Dakwa Ibrahim, perkara ini menyebabkan Malaysia diketawakan oleh masyarakat antarabangsa lantaran kelemahan dalam menangani isu remeh ini.
“Ada yang saya jumpa di London komen negara awak ni kelakar, tak profesional langsung. Malaysia ada menara berkembar tertinggi tapi macam mana boleh ada dakwaan ada DNA babi dalam coklat Cadbury, heboh dan riuh rendah kemudian tak ada pula,” katanya.
“Tak tahulah nak cakap apa lagi,”
Ibrahim ternyata kecewa dengan perkara tersebut dan mengakhiri kenyataannya dengan berkata “Tak tahulah nak cakap apa lagi,”.
Pada 24 Mei lepas, Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah mengesan ‘porcine’ atau DNA babi dalam coklat susu dan kacang Hazel serta coklat susu dan badam bagi kelompok produk itu bertarikh luput 13 Nov 2014 dan kelompok bertarikh luput 15 Jan 2015.
Namun, Jakim semalam mengesahkan dua sampel produk coklat berkenaan yang diambil terus dari kilang syarikat itu disahkan oleh makmal Jabatan Kimia, tidak mengandungi DNA babi.
Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kedua-dua sampel coklat yang dikesan mengandungi DNA babi (porcine) itu mungkin tercemar kerana tidak diambil terus dari kilang.
“Keputusan itu masih positif, tetapi kemungkinan sampel berkenaan diambil dari tempat yang tercemar tidak boleh diketepikan, dan kami tidak meragui ujian makmal itu tetapi sampel itu tidak diambil dari kilang,” Noor Hisham dipetik sebagai berkata oleh Bernama.
Jakim hari ini juga menyatakan kesediaan untuk memakan coklat Cadbury bagi membuktikan kandungannya tidak memiliki DNA babi seperti yang didakwa sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.