Oleh Rafizi Ramli
Pemegang konsesi penswastaan UiTM yang terakhir mengikut jawapan
bertulis Perdana Menteri kepada soalan Parlimen saya ialah Rekajaya
Projek Sdn Bhd yang dianugerahkan konsesi penswastaan UiTM Kota
Samarahan.
Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan
syarikat ini dikuasai oleh pasangan ahli perniagaan bernama Dato’
Mohamed Raffe b K. Chekku dan isterinya Datin Nilufar Yusupova melalui
Rafulin Holdings Sdn Bhd. (Sila semak carian SSM bagi Rekajaya Projek
Sdn Bhd dan Rafulin Holdings Sdn Bhd)
Sementara saya tidak mempersoalkan kebebasan ahli-ahli perniagaan
seperti Dato’ Mohamed Raffe untuk menjalankan perniagaan masing-masing,
kaedah rundingan terus yang digunakan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib
Tun Razak dengan berselindung di sebalik alasan pendekatan “private
finance initiatives” (PFI) begitu mudah disalahgunakan atau dipengaruhi
yang membuka ruang kepada rasuah yang merugikan rakyat.
Melalui kaedah rundingan terus ini, ahli perniagaan yang mempunyai
akses dengan pimpinan Umno dan pegawai tinggi kerajaan berpeluang
mendapat konsesi-konsesi yang diikat dalam tempoh yang lama dan boleh
merugikan rakyat.
Selain
konsesi penswastaan UiTM kampus cawangan Kota Samarahan, syarikat yang
dikawal oleh Dato’ Mohamed Raffe juga dianugerahkan konsesi Lebuhraya
Kuala Lumpur Kuala Selangor (atau LATAR) melalui satu konsortium Kuala
Lumpur Kuala Selangor Expressway Berhad. Konsesi lebuhraya LATAR ini
adalah selama 40 tahun.
Syarikat-syarikat yang dikawal oleh Dato’ Mohamed Raffe boleh
diibaratkan sebagai pakar perunding konsesi yang berurusan dengan
Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan konsesi-konsesi sebegini
sementara pembinaannya diberikan kepada syarikat bukan Bumiputra sama
ada melalui perkongsian (joint venture) atau sub-kontrak.
Di dalam kes pembinaan Lebuhraya LATAR dan UiTM cawangan Kota
Samarahan, pembinaannya dikendalikan oleh Binapuri Holdings Berhad,
sebuah syarikat pembinaan bukan bumiputra yang disenaraikan di Bursa
Kuala Lumpur.
Semakan ke atas carian syarikat SSM dan laman web syarikat-syarikat
terbabit menunjukkan bahawa kos pembinaan kedua-dua konsesi yang
dianugerahkan kepada syarikat Dato’ Mohamed Raffe dibiayai melalui
pinjaman dengan Bank Pembangunan Berhad, sebuah bank milik penuh
kerajaan.
Saya mengambil contoh konsesi penswastaan UiTM cawangan Kota
Samarahan ini untuk menunjukkan bagaimana kaedah PFI yang dijadikan
alasan untuk memberi anugerah konsesi kepada ahli-ahli politik Umno dan
rakan perniagaan mereka sebenarnya samalah dengan Kerajaan Persekutuan
menanggung sendiri kos pembiayaan tanpa perlu diikat dengan perjanjian
konsesi 23 tahun yang membebankan rakyat; atas pertimbangan berikut:
1. Kontraktor akhir yang membina kampus-kampus ini atau lebuhraya
adalah syarikat pembinaan sedia ada seperti Binapuri Holdings.
Syarikat-syarikat ini boleh sahaja turut serta dalam satu tender terbuka
pembinaan kampus tanpa perlu melalui syarikat konsesi seperti sekarang.
Akhirnya projek dikendalikan kontraktor bukan bumiputra walaupun Umno
memberi alasan ia perlu dianugerahkan melalui konsesi untuk memberi
peluang kepada kontraktor Bumiputra
2. Projek sebenarnya dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan sendiri
melalui Bank Pembangunan milik penuh Kerajaan Persekutuan. Sekiranya
kampus-kampus ini dibina sendiri tanpa diswastakan, Kerajaan Persekutuan
boleh sahaja meminjam dari Bank Pembangunan tetapi kos yang ditanggung
rakyat adalah jauh lebih murah
Siri penswastaan UiTM menjadi bukti bagaimana nama Melayu dan
Bumiputra disalahgunakan untuk mengkayakan kroni Umno. Saya akan terus
bersuara mendesak kebertanggungjawaban dan ketelusan di dalam kaedah PFI
supaya Umno tidak sewenang-wenangnya menganugerahkan konsesi yang akan
membebankan rakyat kelak.
Saya juga sertakan jawapan bertulis Perdana Menteri yang mengesahkan
syarikat-syarikat yang memenangi anugerah konsesi penswastaan UiTM ini
sebagai bukti fakta sepanjang pendedahan.
* Rafizi adalah Pengarah Strategi KEADILAN merangkap Ahli Parlimen Pandan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.